Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussain.

PONTIAN – Sebanyak 36 kes penipuan melalui panggilan telefon (phone scam) direkodkan dengan kerugian berjumlah RM1.5 juta di daerah ini sepanjang 2025.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, sementara empat kes diterima setakat ini dalam tahun ini melibatkan kerugian sebanyak RM78,702.

Jelasnya, modus operandi sindiket phone scam adalah menyamar sebagai pegawai polis atau agensi penguat kuasa, pegawai bank atau institusi kewangan.

“Ini termasuk menyamar sebagai pegawai mahkamah, wakil syarikat kurier atau telekomunikasi dan agensi kerajaan.

“Mangsa lazimnya diugut dengan dakwaan terlibat dalam kes jenayah, pembekuan akaun bank, tunggakan hutang atau penghantaran bungkusan mencurigakan sebelum diarahkan memindahkan wang ke akaun tertentu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, tiada pegawai polis atau pegawai kerajaan akan meminta bayaran atau maklumat perbankan melalui telefon.

Begitu juga katanya, tiada siasatan polis dijalankan melalui panggilan telefon semata-mata.

“Terdapat juga di mana scammer yang terlibat dalam kegiatan phone scam menyamar sebagai pegawai polis dan turut hadir secara fizikal ke rumah mangsa bagi mengutip wang,'” ujarnya.

Hadzrat Hussien menasihatkan orang ramai untuk tidak panik dan tidak terus menpercayai panggilan yang mencurigakan selain menamatkan panggilan dan membuat semakan nombor panggilan itu melalui nombor rasmi agensi kerajaan.

“Begitu juga ambil langkah tidak dedahkan maklumat peribadi termasuk nombor kad pengenalan, akaun bank, nombor TAC atau kata laluan,” pesannya lagi.

Beliau turut mengingatkan supaya tidak membuat sebarang pemindahan wang atas arahan diterima melalui panggilan telefon.

“Segera hubungi Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 jika menjadi mangsa atau menerima panggilan mencurigakan,” tambahnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast