Gambar hiasan

Oleh: Dr Ika Faizura Mohd Nor

UBAT suntikan untuk pengurusan berat badan semakin mendapat perhatian di Malaysia, terutamanya melalui media sosial. Ramai yang melihat suntikan ini sebagai jalan mudah atau cepat untuk menurunkan berat badan.

Namun dari sudut perubatan, khususnya berkaitan kesihatan jantung, adalah penting untuk memahami bagaimana ubat ini berfungsi, siapa yang sesuai menggunakannya, serta risiko yang terlibat.

Bagaimana suntikan ini berfungsi?
Ubat suntikan ini bertindak ke atas hormon semula jadi dalam badan yang mengawal selera makan, rasa kenyang dan paras gula dalam darah. Dengan mempengaruhi laluan hormon ini, ia membantu mengurangkan rasa lapar, melambatkan proses penghadaman dan memperbaiki kawalan gula darah. Akibatnya, ramai pesakit akan makan dalam kuantiti yang lebih kecil dan mengalami penurunan berat badan secara berperingkat.

Namun begitu, tindak balas terhadap ubat ini berbeza antara individu. Faktor seperti komposisi badan, penyakit sedia ada, gaya hidup, tabiat pemakanan dan tahap aktiviti fizikal mempengaruhi tahap keberkesanan rawatan. Penting untuk difahami bahawa ubat suntikan ini tidak membakar lemak secara langsung. Ia membantu penurunan berat badan dengan mengubah selera makan dan metabolisme, sebab itu perubahan gaya hidup tetap sangat penting.

Adakah ia berkesan menurunkan berat badan?
Ubat ini boleh berkesan untuk sesetengah individu, namun hasilnya tidak dijamin untuk semua orang. Ada yang berjaya menurunkan berat badan dengan ketara, manakala ada yang hanya mengalami penurunan sederhana atau berhenti pada tahap tertentu.

Hasil terbaik dicapai apabila suntikan ini digabungkan dengan pemakanan sihat, aktiviti fizikal yang konsisten, tidur yang mencukupi dan perubahan tingkah laku jangka panjang. Tanpa semua ini, kesannya selalunya bersifat sementara. Ubat ini pada asalnya dibangunkan untuk rawatan diabetes, dan kesan penurunan berat badan dikenal pasti kemudian sebagai manfaat tambahan.

Peraturan dan akses di Malaysia
Di Malaysia, ubat suntikan metabolik dikawal selia oleh Agensi Regulatori Farmasi Negara dan merupakan ubat preskripsi sahaja. Ia mesti dipreskripsi oleh doktor berdaftar dan dibekalkan melalui fasiliti kesihatan yang sah. Kebanyakannya diluluskan secara rasmi untuk rawatan diabetes jenis dua.

Dalam keadaan tertentu, doktor boleh mempreskripsikannya untuk pengurusan berat badan jika sesuai dari segi perubatan. Penggunaan luar indikasi ini adalah amalan perubatan
yang diterima selagi dilakukan secara bertanggungjawab dengan penilaian dan pemantauan pesakit yang betul.

Oleh kerana ubat ini sensitif kepada suhu dan memerlukan penyimpanan yang betul, terdapat kebimbangan mengenai produk tiruan atau yang disimpan secara tidak sesuai. Pesakit dinasihatkan memastikan ubat adalah sah, disimpan dengan betul dan berdaftar dengan NPRA.

Mengapa perlu dipantau?
Ubat suntikan ini tidak dimulakan dengan dos penuh. Rawatan biasanya bermula dengan dos rendah dan dinaikkan secara berperingkat untuk mengurangkan kesan sampingan dan membolehkan badan menyesuaikan diri.

Penggunaan tanpa pemantauan perubatan adalah berbahaya dan boleh menyebabkan loya berpanjangan, muntah, dehidrasi, paras gula darah rendah, ketidakseimbangan elektrolit dan masalah buah pinggang. Dari sudut kardiologi, penurunan berat badan yang terlalu cepat dan ketidakseimbangan cecair boleh memberi tekanan tambahan kepada jantung, terutamanya bagi individu yang mempunyai penyakit jantung atau tekanan darah tinggi.

Sesetengah pesakit juga boleh mengalami masalah penglihatan yang semakin teruk, terutamanya mereka yang mempunyai komplikasi mata akibat diabetes. Dalam sebilangan kecil pesakit, ubat ini juga boleh menyebabkan keradangan pankreas.

Apa berlaku selepas rawatan dihentikan
Satu isu penting yang sering terlepas pandang ialah kenaikan semula berat badan. Apabila ubat dihentikan, selera makan biasanya akan kembali.

Jika tabiat pemakanan sihat dan gaya hidup aktif tidak dipraktikkan secara konsisten, berat badan boleh meningkat semula dengan cepat dan dalam sesetengah kes melebihi berat asal.

Kitaran penurunan dan kenaikan berat badan yang berulang tidak baik untuk kesihatan metabolik dan jantung dalam jangka panjang.

Gaya hidup sihat untuk berat badan, kesihatan jantung 
Mengekalkan berat badan yang sihat dalam jangka panjang lebih bergantung kepada amalan harian berbanding ubat semata mata. Dari sudut kesihatan jantung, gaya hidup memainkan peranan besar dalam mengurangkan risiko serangan jantung, strok, tekanan darah tinggi dan diabetes.

Gaya hidup mesra jantung merangkumi pemakanan seimbang dengan kawalan saiz hidangan, pengurangan gula dan makanan diproses, serta pengambilan serat yang mencukupi daripada buah buahan, sayur sayuran dan bijirin penuh. Aktiviti fizikal secara berkala seperti berjalan pantas, berbasikal atau berenang membantu menguatkan jantung, melancarkan peredaran darah dan memperbaiki metabolisme.

Pergerakan harian yang ringkas juga memberi manfaat. Tidur yang mencukupi dan pengurusan tekanan adalah sama penting kerana kurang tidur dan tekanan berpanjangan boleh menjejaskan berat badan, tekanan darah dan irama jantung. Mengelakkan merokok dan mengehadkan pengambilan alkohol turut mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular.

Apabila gaya hidup bertambah baik, berat badan lebih mudah dikekalkan dan jantung mendapat manfaat secara langsung. Ubat boleh membantu sesetengah pesakit, tetapi ia sepatutnya menyokong tabiat sihat ini, bukan menggantikannya.

Siapa yang patut dipertimbangan suntikan ini?
Ubat ini bukan rawatan kosmetik atau penyelesaian cepat. Ia boleh dipertimbangkan untuk pesakit yang mempunyai risiko kesihatan berkaitan obesiti atau masalah metabolik di mana penurunan berat badan boleh memperbaiki kesihatan jangka
panjang. Ia mesti digunakan sebagai sebahagian daripada pelan rawatan menyeluruh yang merangkumi pengurusan gaya hidup, perubahan tingkah laku dan susulan perubatan secara berkala.

Perkara penting mengenai ubat suntikan untuk pengurusan berat badan
• Ubat ini merupakan ubat preskripsi sahaja di Malaysia dan mesti dipreskripsi oleh doktor berdaftar. Ia pada asalnya dibangunkan untuk rawatan diabetes, dengan penurunan berat badan sebagai manfaat tambahan.

• Ubat ini berfungsi dengan mengurangkan selera makan dan meningkatkan rasa kenyang, bukan dengan membakar lemak secara langsung. Keberkesanan berbeza antara individu bergantung kepada komposisi badan, gaya hidup, tabiat
pemakanan dan keadaan kesihatan sedia ada.

• Penurunan berat badan lebih mampan apabila digabungkan dengan diet dan perubahan gaya hidup. Dos ubat dimulakan secara rendah dan dinaikkan secara berperingkat untuk mengurangkan kesan sampingan.

• Penggunaan tanpa pemantauan perubatan adalah berbahaya dan boleh menyebabkan dehidrasi, paras gula darah rendah, ketidakseimbangan elektrolit dan masalah buah pinggang. Kesihatan jantung juga boleh terjejas jika penurunan
berat badan terlalu cepat atau badan mengalami dehidrasi, terutamanya bagi mereka yang mempunyai penyakit jantung.

• Sesetengah pesakit mungkin mengalami masalah mata yang semakin teruk, khususnya mereka yang mempunyai komplikasi diabetes, serta keradangan pankreas.

• Terdapat risiko kenaikan semula berat badan selepas rawatan dihentikan, terutamanya jika perubahan gaya hidup tidak dikekalkan.

• Ubat ini bukan rawatan kosmetik atau jalan pintas dan tidak sesuai untuk penggunaan santai. Pesakit lazimnya perlu menggunakan ubat ini sekurang kurangnya 12 hingga 18 bulan sebelum kesan maksimum penurunan berat badan
dicapai.

• Ia boleh dipertimbangkan untuk pesakit dengan risiko kesihatan berkaitan obesiti, dan semua keputusan rawatan perlu dibuat berdasarkan nasihat perubatan, bukan pengaruh media sosial.

Mesej daripada pakar kardiologi
Sebagai pakar kardiologi, fokus saya adalah kesihatan jangka panjang, bukan penurunan berat badan secara cepat. Mengekalkan berat badan yang sihat melalui pemakanan seimbang, aktiviti fizikal yang konsisten dan tabiat harian yang sihat merupakan antara cara paling berkesan untuk melindungi kesihatan jantung.

Ubat suntikan untuk pengurusan berat badan boleh membantu pesakit tertentu, tetapi hanya apabila digunakan dengan betul, bertanggungjawab dan bersama gaya hidup sihat. Jika anda sedang mempertimbangkan rawatan ini, berbincanglah dengan profesional kesihatan yang berkelayakan untuk menilai sama ada ia selamat dan sesuai untuk anda.

Penulis adalah Pakar Perunding Kardiologi, Ampang Puteri Specialist Hospital.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast