Murad Jailani

PASIR GUDANG – Masalah kekurangan tenaga pengajar, fasiliti tidak cukup serta masalah bilik darjah yang padat di daerah ini perlu diberi perhatian sebelum melaksana cadangan murid usia enam tahun masuk darjah satu pada 2027.

Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pasir Gudang, Murad Jailani berkata, ini kerana Pejabat Parlimen Pasir Gudang kerap menerima aduan berkaitan kekurangan tersebut.

Beliau berpendapat, cadangan tersebut tidak menjadi isu besar daripada sudut kesiapsiagaan ibu bapa dan murid tetapi kekurangan dan masalah berkenaan wajar diatasi untuk kelancaran dan keselesaan.

Murad percaya Isu-isu yang dibangkitkan itu bukan sahaja berlaku di Pasir Gudang tetapi turut menjadi masalah di banyak sekolah seluruh negara.

“Sehubungan itu, saya berharap pihak Kementerian Pendidikan (KPM) dapat memberi perhatian serius dengan menambah baik perjawatan guru, kemudahan asas dan infrastruktur sekolah agar sebarang perubahan dasar dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan demi kepentingan murid serta warga pendidik,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kanak-kanak berumur enam tahun boleh didaftarkan sebagai murid darjah satu mulai tahun 2027.

Pengumuman dibuat semasa Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di Putrajaya.

Namun, pendaftaran pada umur enam tahun tidak diwajibkan dan bergantung kepada kesediaan ibu bapa dengan pilihan untuk mendaftar pada umur tujuh tahun masih dibuka.

Mengulas lanjut, Murad berkata, realitinya kebanyakan kanak-kanak hari ini sudah terdedah dengan pendidikan awal dan bersedia daripada sudut pembelajaran asas pada masa kini.

Di atas kepekaan ibu bapa ban penjaga katanya, kanak-kanak seawal usia dua hingga tiga tahun telah memasuki taska.

Katanya, sementara usia empat hingga lima tahun masuk ke Tadika dan pada usia enam tahun kebanyakan sudah mengenal huruf, boleh membaca asas serta menulis nama sendiri.

“Oleh itu, cadangan kemasukan ke darjah satu pada usia enam tahun bermula 2027 dilihat tidak menjadi isu besar daripada sudut kesiapsiagaan ibu bapa dan murid,” ujarnya.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast