Kompleks Mahkamah Muar.

MUAR – Seorang bekas pegawai Majlis Amanah Rakyat (Mara) sekali lagi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan pecah amanah.

Nor Hasmal Hazwani Mohd Kamal, 40, berdepan 25 pertuduhan pecah amanah dua hari lalu, kali ini berdepan 22 pertuduhan yang sama membabitkan kerugian lebih RM29,000.

Tertuduh mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Mohd Khairi Haron dan minta dibicarakan.

Mengikut kesemua pertuduhan, dia didakwa melakukan pecah amanah ke atas wang pembayaran balik pinjaman berjumlah RM29,601.53 yang didepositkan dua peminjam wanita berusia 32 dan 55 tahun.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Mara Daerah Tangkak antara 4 Oktober 2022 sehingga 8 Oktober 2024.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda bagi setiap pertuduhan dikenakan terhadapnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM10,000 setiap pertuduhan selain syarat tambahan dikenakan terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM19,000 bagi kesemua pertuduhan serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada Isnin pertama setiap bulan.

Kes disebut semula pada 8 April ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Kelmarin, dia dihadapkan ke mahkamah sama namun mengaku tidak bersalah bersalah terhadap 25 pertuduhan pecah amanah wang berjumpah RM15,839.66 yang didepositkan oleh empat peminjam berusia 41 hingga 55 tahun.

Setakat ini, sebanyak 47 pertuduhan daripada 66 keseluruhan pertuduhan sudah dikemukakan terhadap tertuduh.

Esok ibu kepada tiga anak itu dihadapkan ke mahkamah untuk baki 19 lagi pertuduhan berkaitan kesalahan sama.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast