Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) secara rasmi menerima penyertaan semula Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) sebagai parti komponen gabungan itu, sekali gus menandakan fasa baharu pengukuhan BN di peringkat nasional.

Menurut Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, keputusan tersebut dilihat sebagai langkah strategik bagi memperluas asas sokongan BN, khususnya dalam landskap politik semasa yang menuntut kestabilan, kematangan serta keupayaan membina kesepakatan merentas kaum.

“Ia selaras dengan semangat memperkukuh gabungan politik berbilang kaum di bawah satu payung perjuangan yang inklusif dan progresif,” katanya dalam satu kenyataan, lewat malam ini.

Untuk rekod, PPP bertindak keluar daripada BN pada 2018.

Dalam mesyuarat sama, BN bersetuju melantik Jawatankuasa Penyelaras BN negeri Sabah sebagai langkah memperkukuh penyelarasan dan gerak kerja gabungan itu di peringkat negeri.

Pelantikan tersebut menyaksikan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dilantik sebagai Pengerusi, manakala Datuk Jafry Ariffin dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras BN Sabah.

Sementara itu, Datuk Mohd Hasnol Ayub pula dilantik sebagai Setiausaha, bagi memastikan urus tadbir dan penyelarasan pentadbiran parti berjalan dengan lebih tersusun dan berkesan.

Dalam masa yang sama, Barisan Nasional memaklumkan  parti itu sedang mempertingkatkan gerak kerja serta tahap kesiapsiagaan jentera bagi menghadapi kedua-dua Pilihan Raya Kecil (PRK) P.187 Parlimen Kinabatangan dan N.58 Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.

“BN juga sedang mempertingkatkan gerak kerja dan kesiapsiagaan jentera partibagi menghadapi dua Pilihan Raya Kecil tersebut, dengan memberi penekanan kepada penyelarasan jentera, strategi kempen yang berkesan serta komitmen berterusan untuk menyampaikan khidmat terbaik kepada rakyat,” kata Zambry lagi.

Semalam, sebanyak 93 peratus atau 176 anggota polis telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar mewakili Barisan Nasional, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala bagi DUN Lamag pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Disember tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast