KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menjalankan siasatan berhubung hantaran Facebook (FB) sebuah masjid di Rawang yang didakwa memaparkan kandungan berkaitan parti politik.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, tindakan berkenaan bertentangan dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menegaskan supaya semua masjid dan surau di negeri itu kekal bebas daripada pengaruh politik kepartian.
“Pendirian MAIS (Majlis Agama Islam Selangor) dan JAIS dalam perkara ini dibuat berdasarkan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang mahukan masjid dan surau di Negeri Selangor sentiasa mengambil sikap tidak terlibat atau cenderung atau mencetus apa-apa perkara yang boleh membawa kepada perbalahan dan perpecahan umat Islam, khususnya pengaruh politik kepartian.
“Baginda menitahkan agar MAIS dan JAIS tegas dalam perkara ini bagi memastikan masjid dan surau di Negeri Selangor terus kekal sebagai institusi yang mengambil sikap berkecuali menjadi zon aman dan tenang untuk beribadah dan beraktiviti, seterusnya menjadi pusat dan nadi kekuatan umat Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian merujuk hantaran melalui FB oleh pemilik akaun Hasnul Zulkarnain dan hantaran di Blogspot gigitankerengga.blogspot.com dengan tajuk “Dah kenapa laman rasmi masjid jadi ‘page’ Pas?.
Jelasnya, siasatan dibuat di bawah Seksyen 12 (a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana melakukan suatu tindakan dengan cara menghina kuasa yang sah atau mengingkari atau melanggar perintah atau arahan Sultan Selangor.
“Sehubungan dengan itu, MAIS dan JAIS akan mengambil tindakan yang tegas terhadap kes yang dibangkitkan,” katanya lagi.
Beliau turut menyeru umat Islam di negeri itu menjadikan masjid dan surau sebagai pusat persepakatan serta kesatuan umat Islam.
“Berbezalah untuk memberi nilai tambah kepada ilmu, amal ibadat dan menyucikan hati, bukan berbeza yang menidakkan perkara pokok dan asas agama, mengetepikan ilmu, adab, dan sikap dalam berbeza serta berbeza yang menanam hati dan perasaan yang penuh hasad, dendam kesumat, kebencian dan ekstrem,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















