SHAH ALAM – Kenderaan Autonomi Pos Malaysia yang dilancar hari ini dijangka akan dapat meningkatkan produktiviti serta kecekapan pengendalian bahan pos dalam operasi dalaman fasiliti sebelum diperluaskan ke peringkat seterusnya.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu merupakan satu langkah progresif dalam usaha memodenkan operasi perkhidmatan pos negara sejajar dengan perkembangan teknologi semasa.
Bagaimanapun ia tidak bermaksud Pos Malaysia boleh mengurangkan para pekerjanya.
“Projek ini merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia bagi sektor perkhidmatan pos sekali gus membuka ruang untuk negara meneroka penggunaan kenderaan autonomi secara lebih meluas pada masa hadapan.
“Kita mengakui sektor penghantaran surat kini berdepan cabaran besar kerana ia dianggap sebagai perkhidmatan legasi, namun peralihan kepada model perniagaan yang lebih mampan perlu dibantu bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Kenderaan Autonomi Pos Malaysia dan menyaksiakan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pos Malaysia dan syarikat ALS, yang bertujuan melaksanakan projek perintis atau proof of concept (POC) di fasiliti Pusat Mel Nasional di sini hari ini.
Sebaliknya, tegas Fahmi, penggunaan teknologi perlu seiring dengan tenaga pekerja yang perlu beradaptasi dengan kecanggihan semasa.
“Penggunaan teknologi mesti seiring dengan usaha mengekalkan pekerjaan, mungkin melalui latihan semula dan peningkatan kemahiran supaya pekerja boleh melaksanakan tugasan yang lebih kompleks,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, katanya, Pos Malaysia akan menjalankan ujian kenderaan autonomi itu dalam fasiliti Pusat Mel Nasional bagi tempoh tiga hingga enam bulan sementara menunggu kelulusan penuh daripada Kementerian Pengangkutan.
Fahmi berkata, penggunaan kenderaan autonomi pada peringkat awal akan tertumpu kepada laluan pertengahan seperti dari pusat mel ke pejabat pos utama dan bukannya penghantaran terus ke rumah. – MalaysiaGazette
















