KUALA LUMPUR – Malaysia perlu membina keupayaan industri pertahanan sendiri dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pembelian aset, tegas Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang dilancarkan hari ini dirangka bagi mengubah pendekatan sedia ada sektor pertahanan daripada hanya menumpukan perolehan kepada pembangunan industri tempatan yang lebih tersusun dan berdaya tahan.
Menurut Anwar, dasar itu telah lama tertangguh dan kini dilaksanakan bagi memenuhi keperluan semasa serta memperkukuh hala tuju industri pertahanan negara dalam jangka panjang.
Beliau berkata, antara penekanan utama DIPN ialah memastikan keputusan perolehan dan pembangunan keupayaan pertahanan dibuat berdasarkan kepakaran, keperluan sebenar dan proses yang telus.
“Keputusan berkaitan jenis aset, kelengkapan dan keutamaan mesti ditentukan oleh pihak yang mempunyai kemahiran dan kepakaran bukan ditentukan secara sewenang-wenangnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama ketika Majlis Peluncuran DIPN di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia di sini hari ini.
Tambah Anwar, DIPN turut memberi tumpuan kepada pembangunan keupayaan teknologi tempatan termasuk melalui program kerjasama industri bagi membolehkan pemindahan teknologi dan pembangunan kepakaran dalam negara.
Selain itu pengukuhan ekosistem industri dan rantaian bekalan tempatan menjadi antara teras penting dasar berkenaan supaya perbelanjaan besar dalam sektor pertahanan dapat dimanfaatkan untuk membina keupayaan domestik.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan, pengkomersialan penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga perlu diberi perhatian agar pelaburan dalam industri pertahanan tidak terhenti pada perolehan semata-mata, sebaliknya memberi nilai tambah kepada industri tempatan.
“Malaysia tidak boleh terus terperangkap dalam pendekatan lama yang terlalu bergantung kepada pembelian tanpa membina asas industri sendiri.
“Kelemahan dalam membangunkan teknologi dan industri tempatan sebelum ini perlu diperbetulkan melalui pelaksanaan DIPN yang lebih menyeluruh.
”Dasar ini membuka ruang kepada syarikat tempatan untuk terlibat secara lebih aktif dalam industri pertahanan negara, selain syarikat milik kerajaan,” ujarnya.
Tambah Perdana Menteri, pelaksanaan DIPN memerlukan sokongan penuh Jemaah Menteri serta penyelarasan berterusan antara kementerian bagi memastikan dasar itu dilaksanakan secara konsisten dan berkesan.
“DIPN bukan sekadar satu dasar perolehan sebaliknya kerangka strategik bagi membina keupayaan industri pertahanan negara secara berperingkat dan mampan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















