JOHOR BAHRU – Seorang nenek bimbang dengan keselamatan empat cucu yang dijaganya selepas menerima ugutan dan rumah disimbah cat merah gara-gara anak lelakinya meminjam ah long.
Lee Mew Ling, 70, berkata, semuanya berpunca daripada anaknya, Weng, 48, yang meminjam wang ceti haram dan kini menghilangkan diri sekali gus perbuatan tersebut memberikan masalah dan tekanan kepada keluarganya.
Dia mendakwa, Weng meminjam dengan ceti haram tanpa pengetahuan keluarga dan lebih teruk bersikap lepas tangan berkaitan soal menjelaskan hutang dan mereka menjadi sasaran.
“Pada awalnya mereka hanya menghantar mesej berbaur ugutan menerusi WhatsApp sebelum mula mengganggu di rumah pada 9 dan 10 Januari lalu.
“Ini termasuk meletakkan notis amaran di hadapan rumah sewa kami termasuk meletakkan butiran kad pengenalan Weng.
“Malah mereka juga bertindak menyimbah cat merah di hadapan rumahm selain kenderaan milik menantu pada pukul 5 pagi pada 10 Januari lalu,” katanya.
Dia berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadu masalahnya kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung di pejabatnya di Johor Jaya, di sini hari ini.
Ibu tunggal tersebut terkilan apabila dimaklumkan kejadian tersebut kepada Weng, anaknya itu sekadar memintanya berpindah ke rumah lain.
Jelasnya, Weng yang merupakan bekas pekerja kilang juga enggan memberitahu jumlah pinjaman yang dibuat.
“Menantu saya mendakwa dia juga pernah dihubungi ceti haram sebelum ini dan didesak untuk membayar wang RM9,000.
“Menantu saya yang tinggal di Singapura menyatakan sudah menjelaskan jumlah yang diminta dan dia juga tidak mampu untuk menanggung hutang tambahan apabila ah long meminta wang lagi,” katanya.
Demi keselamatan keluarga dia membuat dua laporan di Balai Polis Taman Johor Jaya pada 10 dan 12 Januari lalu.
Ah long juga katanya, mengugut mahu menimbulkan gangguan di tempat kerjanya dan dia bimbang akan kehilangan kerja.
Dia berharap ceti haram berurusan terus dengan Weng dan tidak menganggu mereka lagi kerana tidak mampu untuk berbuat apa-apa lagi.
“Saya juga tidak mengetahui maklumat tempat tinggal Weng selain saya sibuk mengurus cucu berusia antara 13 hingga 19 tahun dan masih belajar.
“Saya semakin bimbang dengan keselamatan semua cucu selepas anak menghilangkan diri,” katanya.
Dia menjaga tiga anak Weng sejak tiga tahun lalu dan walaupun sudah berusia dia masih bekerja sebagai pembantu kedai bagi mencari pendapatan untuk membayar sewa rumah mereka di Taman Molek di sini.
Dakwanya, dengan bantuan menantu serta anak perempuannya yang juga berstatus ibu tunggal, dia menjelaskan tunggakan bayar sewa secara berperingkat-peringkat.
“Saya juga terpaksa bagi mencari pendapatan demi empat cucu termasuk seorang daripadanya adalah anak kepada anak perempuan saya,” ujarnya.
Dia tidak menyangka akan berdepan dengan masalah ah long selepas terpaksa menguruskan keluarganya.
Sementara itu, Cai Tung berkata, warga emas tersebut tidak sepatutnya diganggu kerana tidak mengetahui perbuatan tidak bertanggungjawab anaknya.
“Saya berharap anak lelakinya mencari jalan penyelesaian supaya ahli keluarga tidak menjadi mangsa ceti haram,” katanya.- MalaysiaGazette
















