Datuk Seri Ir Jaseni Maidinsa (dua dari kiri) bertukar cenderamata dengan Datuk Yong Soo Heong pada selepas majlis forum bertajuk Communicating Sustainabality in the Water Sector anjuran bersama MPI di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Pembesaran empangan sedia ada merupakan antara langkah yang dicadangkan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dalam mendepani cabaran perubahan iklim.

Pengerusi PAAB, Datuk Seri Ir Jaseni Maidinsa berkata, perkara itu pernah dibangkitkan pihaknya kepada kerajaan sebelum ini sebagai persediaan khususnya sekiranya berlaku kemarau berpanjangan.

Menurut beliau, empangan yang dimilik negara ketika ini dibina berdasarkan standard teknologi British yang mana meskipun mampu bertahan sehingga 100 tahun, namun hanya menampung kapasiti air setakat 100 hari.

Sedangkan, kata beliau, perubahan iklim yang melanda dunia ketika ini menyebabkan musim kemarau berlaku melebihi 100 hari, malah boleh berlanjutan sehingga antara lima ke enam bulan.

“Sebab itu dalam kebanyakan persidangan antarabangsa berkaitan air sebelum ini, saya turut mencadangkan kita mengubah standard kemampuan empangan sedia ada, termasuk membesarkannya.

“Saya cadangkan supaya empangan-empangan itu mampu menampung kapasiti air bagi tempoh sehingga enam bulan, jadi lebih banyak air dapat disimpan ketika musim hujan atau ketika banjir sebagai persediaan sekiranya berlaku kemarau berpanjangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis forum bertajuk Communicating Sustainabality in the Water Sector anjuran bersama Malaysian Press Institute (MPI) di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong dan Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Zulkiflee Omar.

Pada majlis sama, PAAB turut melancarkan logo sempena 20 tahun penubuhan agensi itu yang akan disambut pada 5 Mei depan.

Menurut Jaseni, selain persediaan bagi berdepan kemarau, pembesaran empangan itu juga dapat mengatasi masalah banjir memandangkan taburan hujan sejak beberapa dekad kebelakangan ini semakin bertambah.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Jaseni berkata, PAAB ketika ini dalam usaha untuk menggantikan paip baharu melibatkan sepanjang 329,000 kiometer di seluruh negara melibatkan kos kira-kira RM1.5 bilion. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast