JOHOR BAHRU – Kehidupan mewah seorang pemuda yang tidak bekerja terbongkar apabila dicekup polis dalam serbuan dan rampasan dadah di sebuah kawasan kondiminium mewah di Taman Abad di sini Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek yang berusia 32 tahun ditahan bersama-sama syabu seberat 10.78 kilogram bernilai RM344,960 dalam operasi pada pukul 6.20 petang.
“Pemeriksaan ke atas sebuah kereta Honda City yang dipandu suspek di kawasan tersebut berjaya menemukan dadah berkenaan yang dibungkus dalam peket minuman teh bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Kita tidak menolak suspek turut memasarkan dadah berkenaan menggunakan laman sosial untuk mengedarkan dadah berkenaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini hari ini.
Raub berkata, semakan mendapati suspek yang tinggal di Ulu Tiram di sini mempunyai rekod jenayah dan dadah, selain ujian air kencingnya positif dadah jenis methampetamine.
Susulan penahanan suspek, polis turut merampas sebuah lori dan dua buah motosikal keseluruhannya bernilai RM432,960.
Tambahnya, suspek masih ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- MalaysiaGazette
















