KUALA LUMPUR – Sebuah taska yang dikaitkan dengan penderaan kanak-kanak asuhannya di Shah Alam bukan di bawah pembiayaan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan perkara berkenaan di ruangan komen akaun Instagram Caprice yang mendedahkan kejadian berkenaan.
Jelasnya, taska yang dikatakan berlaku penderaan itu terletak di Kota Kemuning.
Bagaimanapun, Asyraf Wajdi meminta pihak pengurusan MARA menjalankan siasatan berhubung pendedahan tersebut.
“Saya minta pengurusan MARA buat siasat sepenuhnya kerana saya tidak mahu MARA membiayai dan berkolaborasi dengan institusi yang punya rekod tidak menjaga kualiti pendidikan apatah lagi terkait dengan soal yang melibatkan keselamatan dan kesejahteraan anak-anak,” katanya.
Menurut Asyraf Wajdi, sehingga kini dua premis taska yang menerima pembiayaan MARA adalah cawangan Klang dan Bestari Jaya.
Dalam pada itu, beliau memohon jasa pihak yang mempunyai maklumat mengenai penderaan yang berlaku di taska tersebut memberi maklumat lanjut.
“Semua komen-komen di ruangan posting ini saya turut minta pengurusan MARA perhalusi dan ambil tindakan sewajarnya dengan segera,” ujarnya.
Terdahulu, pempengaruh, Caprice atau Ariz Ramli menerusi Instagram memuat turun video pendedahan mengenai penderaan di sebuah taska yang terletak di Shah Alam.
Video berkenaan dipercayai dikongsi oleh seorang bekas pelatih yang mendakwa tidak mampu meneruskan latihannya selepas dua hari ekoran melihat kejadian tersebut di taska itu.
Antara video yang dimuat turun oleh Caprice adalah, situasi dikatakan kanak-kanak autisme dikurung di bilik stor dan bayi dipaksa minum susu dalam keadaan menangis teresak-esak.
Caprice menerusi Instagram Story turut memuat turun gambar dikatakan pihak pengurusan MARA pernah membuat lawatan ke taska berkenaan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Pengasuh kurung kanak-kanak autisme, Caprice dedah penderaan di sebuah taska di Shah Alam
















