KUALA LUMPUR – Seramai 20 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah dibuang kerja antara tempoh 2022 hingga tahun lalu selepas didapati bersalah dalam kes berkaitan pasport terbang.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, mereka merupakan sebahagian daripada 41 pegawai JIM yang dikenakan tindakan tatatertib bersabit kes itu sepanjang tempoh sama.
Menurut beliau, tindakan itu diambil hasil siasatan dalaman yang telus dan berlandaskan peraturan yang ditetapkan.
“Langkah ini mencerminkan pendirian tegas JIM bahawa sebarang salah laku, khususnya yang melibatkan integriti dan kepercayaan awam, tidak akan dikompromi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengesyorkan JIM mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai JIM susulan siasatan berkaitan dakwaan aktiviti pasport terbang di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jun tahun lalu.
Berdasarkan siasatan EAIC, pegawai berkenaan didapati memasukkan (key in) butiran maklumat seorang penumpang yang memasuki Malaysia serta maklumat pasport di dalam sistem MyIMMs tanpa kehadiran penumpang berkenaan di kaunter semasa urusan dijalankan.
Berhubung syor EAIC dalam kes berkenaan, Zakaria mengesahkan bahawa tindakan tatatertib telah dilaksanakan terhadap pegawai terlibat selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Dalam masa sama, beliau memberi jaminan setiap kes yang dirujuk oleh EAIC akan diteliti secara menyeluruh dan ditangani dengan serius tanpa sebarang kompromi.
Jelasnya, sepanjang tahun lalu misalnya, sebanyak 61 kes telah dirujuk oleh EAIC dan kesemua kes terlibat dibawa ke Mesyuarat Jawatakuasa Aduan dan diambil tindakan selaras dengan proses serta peruntukan tatatertib yang berkuat kuasa.
Ujar beliau, pendekatan itu mencerminkan komitmer berterusan JIM terhadap prinsip akuntabiliti, integriti dan tadbir urus yang baik.
“JIM akan terus memperkukuh pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP), meningkatkan pemantauan dalaman serta melaksanakan langkah penambahbaikan secara berterusan.
“Ini bagi memastikan perkhidmatan imigresen dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan selari dengan peraturan ditetapkan, demi memelihara kepercayaan rakyat dan kepentingan negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















