KENYATAAN akhbar Pemuda MCA berkenaan dasar baharu KPM.

KUALA LUMPUR – Pemuda MCA mendesak kerajaan mengkaji semula dasar hanya murid yang lulus ujian diagnostik dapat ke Tahun Satu pada usia enam tahun bagi mengelak salah faham serta percanggahan yang akan mengelirukan serta membebankan ibu bapa dan murid.

Setiausaha Agungnya, Saw Yee Fung berkata, dasar itu menimbulkan pelbagai persoalan antaranya bagaimana Kementerian Pendidikan (KPM) mentakrifkan piawaian psikologi, emosi, keupayaan belajar dan kematangan kanak-kanak.

Menurutnya, cara pentakrifan itu amat kabur selain tidak adil bagi kanak-kanak untuk diuji atas beberapa indikator yang tidak jelas, sekali gus dikhuatiri mewujudkan hierarki kelayakan di antara kanak-kanak sebaik sahaja mereka dilahirkan.

Dalam masa sama, tegas beliau, ujian diagnostik itu juga seolah-olah memaksa budaya bertanding ke atas kanak-kanak.

“Ia juga bakal mewujudkan jurang di antara keluarga yang berkemampuan yang memiliki sumber untuk membantu anak mereka berbanding dengan keluarga yang kurang mampu.

“Ini melanggar prinsip keadilan dan kesamarataan dalam pendidikan,” katanya.

Menurut Yee Fung, isu logistik dalam dasar baharu pendidikan itu juga harus dipertimbangkan khususnya berkenaan jumlah kelas dan bilangan guru yang diperlukan.

Ini kerana, ujarnya, ujian tersebut tidak menyatakan dengan jelas jumlah pelajar yang dapat memenuhi kelayakan yang diperlukan untuk memasuki Tahun Satu.

“Ditambah dengan masalah kekurangan guru yang masih wujud, ia sudah tentu memberi bebanan lebih besar kepada pendidik di negara kita,” katanya.

Sementara itu, beliau mengingatkan mana-mana dasar yang dilaksanakan tanpa perancangan rapi akan membebankan pihak berkepentingan, seperti ibu bapa, guru dan para pelajar, selain menyimpang dari matlamat asal pendidikan yang adil dan sama rata. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast