KUALA LUMPUR – Sebanyak RM75 juta telah diperuntukkan bagi aspek kebudayaan sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, kata Datuk Seri Tiong King Sing.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu berkata, jumlah itu merangkumi penganjuran acara-acara Signature Seni Budaya dan Warisan, Geran Sokongan Sektor Kebudayaan serta pemeliharaan dan pemuliharaan tapak warisan yang diiktiraf oleh UNESCO.
“Berdasarkan Tourism Satellite Account (TSA) 2024 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sektor pelancongan kekal sebagai nadi ekonomi dengan sumbangan 15.1 peratus atau RM291.9 bilion kepada KDNK dan menjana guna tenaga sebanyak 3.5 juta orang.
“Justeru, pelaksanaan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 bakal meningkatkan lagi sumbangan industri ini kepada ekonomi, seterusnya membolehkan rantaian ekonomi rakyat terus berkembang pesat,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr. Shahidan Kasim (PN-Arau) yang meminta kementerian menyatakan sasaran kerajaan bagi TMM 2026 daripada segi bilangan pelancong, hasil ekonomi dan peluang pekerjaan selain membentangkan peruntukan khusus untuk inisiatif kebudayaan sempena kempen itu. – MalaysiaGazette

















