Presiden GPMS, Muhd Fazreen Ismadi

KUALA LUMPUR – Dasar baharu kemasukan murid ke Tahun Satu seawal usia enam tahun tidak tidak wajar dilaksanakan dalam bentuk pilihan atau sukarela, sebaliknya perlu diwajibkan.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Muhd Fazreen Ismadi Fauzi berkata, dasar itu jika dibuat secara pilihan atau sukarela akan membesarkan jurang pendidikan antara golongan berkemampuan dan kurang berkemampuan.

Selain itu, menurutnya, ia menghasilkan kohort murid dengan tahap kesiapsiagaan yang terlalu berbeza dalam satu sistem.

Tambah beliau, pendidikan asas negara tidak boleh dibina atas pendekatan separuh masak yang akhirnya mewujudkan ketidaksamaan sistemik dalam kalangan rakyat.

“Sekiranya Kementerian Pendidikan (KPM) tidak bersedia untuk mewajibkan dasar ini secara menyeluruh, maka GPMS berpandangan dasar ini tidak perlu dilaksanakan sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Fazreen, dalam menuntut kewajipan pendaftaran murid Tahun Satu pada usia enam tahun itu, KPM perlu memastikan kesiapsiagaan sistem secara menyeluruh merangkumi infrastruktur sekolah yang mencukupi, selamat dan kondusif.

Selain itu, katanya, KPM juga bertanggungjawab memastikan bilangan guru yang mencukupi khususnya guru terlatih dalam pendidikan awal kanak-kanak.

Ujar beliau, pendekatan pengajaran peru bersifat perkembangan (developmentally appropriate), bukan berorientasikan peperiksaan atau pencapaian tertentu perlu, sekali gus ujian saringan kemasukan pelajar tidak perlu diadakan.

Dalam masa sama, tambahnya, GPMS turut menuntut penjelasan rasmi dan terperinci daripada KPM berhubung silibus yang akan diguna pakai bagi murid Tahun Satu hingga Tahun Tiga.

“Ia termasuk sama ada ada silibus sedia ada akan disesuaikan atau satu kerangka baharu akan diperkenalkan serta bagaimana kesinambungan pembelajaran dari prasekolah ke Tahun Satu akan diuruskan.

“KPM juga perlu menjelaskan sejauh mana elemen literasi asas, numerasi, kemahiran sosial, emosi dan kemanusian akan diberi penekanan berbanding akademik semata-mata,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast