Anita didenda RM500 dan dikenakan satu perintah khidmat oleh masyarakat Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini

JOHOR BAHRU – Seorang ibu tunggal warga Indonesia dijatuhkan hukuman denda RM500 dan dikenakan satu perintah khidmat masyarakat Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan membuang sisa pepejal di tempat awam, baru-baru ini.

Hakim Nor Aziati Jaafar menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh mengaku Anita Lukman 49, mengaku bersalah setelah pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan, Anita di dakwa telah membuang sisa pepejal iaitu puntung rokok dan botol minuman di tempat awam serta bukan dalam bekas yang diperuntukkan bagi membuang sisa pepejal tersebut.

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di Jalan Ibrahim Sultan, Stulang Laut, di sini pada pukul 12. 41 tengah malam, pada 1 Januari lalu.

Untuk itu, dia didapati melakukan kesalahan di bawah subseksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dan boleh dihukum bawah subseksyen 77A(2) dan sebagai tambahan boleh dikenakan suatu perintah khidmat masyarakat di bawah subseksyen 77B (1) Akta yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM2,000 dan sebagai tambahan kepada denda suatu perintah khidmat masyarakat tidak melebihi 12 jam secara agregat dalam tempoh tidak melebihi enam bulan dan selama bilangan jam tertentu setiap hari tidak melebihi empat jam sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah itu.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal (SWCorp), Siti Adora Rahtimin.

Siti Adora Rahtimin kemudiannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda yang setimpal sebagai satu bentuk pencegahan dan hukuman khidmat masyarakat sebagai satu bentuk pemulihan.

Bagaimanapun, Anita dalam rayuannya memohon agar hukuman tersebut dapat diringankan kerana dia bekerja membantu kawannya di negara ini selain menanggung dua anak berusia lapan dan 15 tahun.

Hakim kemudiannya menetapkan Anita didenda RM500 dan dikenakan perintah khidmat masyarakat selama enam jam dan perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan, seorang pekerja kilang warga Bangladesh, Sultan Md, 28, turut dihadapkan ke mahkamah atas perbuatan yang sama iaitu membuang puntung rokok pada pukul 1.27 pagi, di lokasi dan hari yang sama.

Bagaimanapun, pertuduhan terhadapnya akan dibacakan semula pada 28 Januari depan kerana memerlukan khidmat jurubahasa Bangladesh.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast