Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Kejadian banjir kilat yang melanda beberapa daerah lain di Johor baru-baru ini tidak wajar terus dilabel sebagai fenomena alam semata-mata.

Bendahari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Dr Khairil Anwar Razali berkata, hakikatnya, masalah itu berpunca daripada kelemahan perancangan pembangunan dan kegagalan penyelenggaraan sistem saliran secara berkala.

Jelasnya, ini termasuk disebabkan daripada kehilangan kawasan tadahan hujan akibat pembangunan yang terlalu pesat dan tidak terkawal.

“Rakyat Johor berhak menikmati pembangunan yang selamat dan mampan, bukannya pembangunan yang mengorbankan nyawa, harta benda dan kesejahteraan komuniti setempat.

“Pembangunan tanpa mengambil kira keupayaan sistem saliran dan kesan jangka panjang hanya akan membebankan rakyat apabila bencana berulang berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, di Johor Bahru kawasan seperti Kampung Mohd Amin dan Jalan Kolam Ayer telah berulang kali dilanda banjir kilat akibat sistem saliran lama yang tidak lagi mampu menampung curahan hujan luar biasa.

Katanya, kerajaan kini melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM9.8 juta bagi menaik taraf pintu air, sistem pam dan pembetung di Sungai Chat.

Projek berkenaan menurutnya, dijangka siap pada Januari ini dan bakal memberi perlindungan kepada ratusan keluarga di kawasan terlibat.

Sementara itu di kawasan Taman Abad hingga Jalan Dato’ Sulaiman yang merupakan kawasan komersial dan kediaman berketumpatan tinggi ujarnya, masalah banjir berpunca daripada sistem perparitan lama yang tidak lagi berfungsi dengan berkesan.

“Bagi menangani isu ini, satu RTB bernilai RM7.7 juta sedang dilaksanakan bagi menaik taraf sistem perparitan demi melindungi ekonomi bandar serta kediaman rakyat,” ujarnya.

Di Segamat pula katanya, fenomena banjir termenung terus menghantui kampung-kampung seperti Sebarang Batu Badak, Serdang dan Kuala Paya, apabila air bertakung untuk tempoh yang lama akibat saliran yang tidak lancar.

Pada awal Januari 2026, seramai 112 mangsa terpaksa dipindahkan ke lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) susulan kejadian banjir ini, katanya.

Di kawasan Tangkak–Sungai Kesang pula katanya, lebih 5,000 penduduk terjejas akibat banjir berulang sejak 2006, sebuah RTB bernilai RM126 juta, termasuk pembinaan pintasan banjir sepanjang 0.5 kilometer, sedang dibangunkan dan dijangka siap pada Ogos ini bagi mengurangkan risiko banjir.

Pejuang Johor menyambut baik usaha kerajaan dalam melaksanakan projek-projek RTB di kawasan berisiko tinggi.

Namun katanya, Pejuang Johor menegaskan bahawa RTB semata-mata tidak mencukupi sekiranya projek pembangunan baharu terus mengabaikan garis panduan saliran, jika penyelenggaraan longkang serta sistem perparitan tidak dilaksanakan secara konsisten dan berkesan.

Sehubungan itu, Pejuang Johor menggesa agar audit saliran diwajibkan sebagai syarat utama sebelum sebarang projek pembangunan diluluskan.

Pihak berkuasa tempatan juga katanya, perlu memastikan kerja-kerja penyelenggaraan sistem saliran dijalankan secara berkala, terancang dan telus demi kepentingan rakyat.

Khairil berkata, selain itu beberapa langkah segera boleh dilaksanakan bagi mengurangkan risiko banjir kilat antaranya membersihkan sungai dan parit daripada rumput serta sampah secara berjadual, sama seperti penyelenggaraan pemotongan rumput oleh PBT.

“Pemetaan kawasan industri di sepanjang sungai dan parit juga perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca pencemaran atau pembuangan sisa industri yang menghalang aliran air,” katanya.

Di samping itu ujar beliau, projek mendalamkan sungai perlu dilaksanakan di kawasan sungai yang kerap melimpah bagi mengelakkan mendapan tanah dan pasir menghalang laluan air seperti yang telah dilaksanakan di Kota Tinggi.

Pejuang juga mencadangkan supaya diwujudkan program anak angkat sungai melalui penglibatan syarikat swasta bagi meringankan kos penyelenggaraan sungai, selain bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar untuk memantau dan menjaga kawasan berisiko.

“Pejuang Johor percaya bahawa banjir kilat bukan sesuatu yang tidak dapat dicegah. Dengan pelaksanaan RTB yang berkesan, audit saliran yang menyeluruh serta penglibatan aktif komuniti, Johor mampu membina masa depan yang lebih selamat dan mampan,” katanya.

Audit saliran bukan satu pilihan katanya, tetapi satu kewajipan, RTB bukan sekadar projek mega tetapi pelindung nyawa rakyat.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast