Ibu pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45 selepas hadir pendengaran hasil laporan bedah siasat pertama anaknya anggota pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Syamsul Haris Shamsudin ketika di Mahkamah Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 05 DESEMBER 2025.

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan penarikan balik notis usul yang mengarahkan Hospital Kota Tinggi, Johor membekalkan salinan laporan bedah siasat Allahyarham Syamsul Haris Syamsudin.

Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet membuat keputusan tersebut selepas membenarkan permohonan Ummu Haiman Bee Daulatgun, 46, ibu pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai yang meninggal dunia 28 Julai tahun lalu.

Peguam yang mewakili ibu allahyarham, Aiman Haziq Saiful Kamal berkata, penarikan balik notis usul tersebut dibuat selepas pihaknya menerima laporan bedah siasat dan laporan perubatan Syamsul Haris pada 30 Dis 2025 daripada pihak hospital dan pihak pendakwaan.

“Pihak kami berhasrat untuk menarik balik notis usul itu. Ini kerana kami telah menerima laporan autopsi dan laporan perubatan (pertama) serentak pada 30 Dis 2025 daripada pihak pendakwaan dan juga Hospital Bukit Tinggi, Johor,” katanya ketika prosiding sebutan semula kes hari ini.

Dalam masa yang sama. Timbalan Pendakwa Raya Parvin Hameedah Natchiar (T) tidak membantah permohonan berkenaan.

Dalam pada itu, Aiman Haziq ketika ditemui berkata pihaknya kini menunggu perkembangan lanjut berhubung kes berkenaan selepas diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

Sebagai rekod, Syamsul Haris dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai 2025 di Hospital Kota Tinggi ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram, Johor dan dikebumikan pada 29 Julai tahun lepas di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu di Selangor.

Kemudian Ummu Haiman Bee pada 19 Ogos mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi Shah Alam antaranya bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan serta mencadangkan untuk memulakan prosiding inkues bagi menyiasat kematian anaknya.

Terdahulu, AGC pada 2 Dis 2025 mengarahkan kes kematian Syamsul Haris diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk siasatan selanjutnya oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast