KULAI – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengenakan pelbagai tindakan atas pelbagai kesalahan termasuk sita dan saman terhadap 459 warga asing dalam Ops Khas Pemandu Warga Asing (PeWA) sejak awal bulan ini sehingga kini.
Pengarah JPJalan Johor, Zulkarnain Yasin berkata, menerusi operasi itu 235 buah kenderaan disita dan 459 buah kenderaan diambil tindakan daripada keseluruhan 1,109 kenderaan yang diperiksa.
“Daripada jumlah ini, sebanyak 152 kenderaan adalah motosikal, 69 buah kereta, 11 lori dan tiga buah van.
“Pesalah yang diambil tindakan pula melibatkan 195 warga Pakistan, 110 Bangladesh, 99 Indonesia, 23 Myanmar, 15 Nepal dan 17 lain-lain negara,” katanya kepada pemberita ketika meninjau hasil operasi di Stesen Penguatkuasa JPJ Ayer Bemban di sini hari ini.
Beliau berkata, antara kesalahan yang direkodkan melibatkan tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tiada insuran kenderaan dan tiada lesen vokasional.
Jelasnya, ini juga membabitkan kesalahan teknikal seperti tidak selenggara tayar, lampu brake tidak berfungsi serta tiada cermin sisi.
Menurutnya, tindakan turut dikenakan atas kesalahan tidak memakai topi keledar, tidak mengenakan tali pinggang keledar serta menggunakan telefon bimbit ketika memandu.
Zulkarnain berkata, Ops PeWA dilancarkan bermula 1 Januari lalu sehingga hari ini bertujuan meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya melalui penguatkuasaan terancang itu.
Sepanjang operasi itu, pihaknya tmemfokuskan kepada pengesanan dan penilaian pematuhan syarat-syarat dan peraturan keselamatan serta kenderaan dipandu dengan selamat.
“Melalui analisis Ops PeWa ini, JPJ Negeri Johor mendapati tahap kesedaran kepada pematuhan keselamatan jalan raya khususnya kenderaan persendirian masih berada ditahap rendah dimana sejumlah 325 orang (35 peratus) tidak memiliki Lesen Memandu Malaysia (LMM).
“Suka diingatkan juga, pemilik kenderaan yang memberikan kebenaran kepada warga asing memandu kenderaan mereka tanpa LMM akan mengakibatkan kedua-dua pihak akan diambil tindakan,” katanya.- MalaysiaGazette
















