Pengawal keselamatan, Abdul Rahman cedera jari tangan kanan dan kaki kiri selain bengkak di bahagian pinggang selepas diserang seekor gajah depan SK Sri Perani, Bandar Sri Perani, Kota Tinggi, baru-baru ini

KOTA TINGGI – Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Tinggi melaksanakan beberapa langkah keselamatan susulan kejadian serangan gajah liar yang mencederakan seorang pengawal keselamatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Perani di sini kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, langkah keselamatan tersebut diambil selepas JPNJ dan PPD Kota Tinggi mengadakan perbincangan.

“Beberapa langkah keselamatan segera diputuskan untuk dilaksanakan di sekolah-sekolah berisiko khususnya berhampiran kawasan hutan atau laluan hidupan liar.

“Antara langkah diambil termasuk membenarkan penangguhan kehadiran murid dan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekiranya diarahkan oleh PPD atau JPN.

“Bagi sekolah yang terlibat secara langsung, murid-murid akan dikawal sepenuhnya sepanjang berada di kawasan sekolah sehingga keadaan disahkan selamat,” katanya ketika dihubungi.

Aznan berkata, pihak pengurusan sekolah juga diarah membuat laporan polis sekiranya terdapat sebarang ancaman, selain menutup sementara kawasan berbahaya dan memperketat kawalan pergerakan murid.

Selain itu katanya, pengawal keselamatan tidak dibenarkan melakukan rondaan secara bersendirian atau pada waktu awal pagi serta lewat malam di kawasan berisiko tinggi.

“Semua sekolah dikenal pasti berisiko juga dikehendaki menghantar Laporan Penilaian Risiko Keselamatan Sekolah kepada PPD dalam tempoh tujuh hari bekerja,” katanya.

Dalam masa yang sama, Aznan berkata, beliau akan berbincang Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon bagi mendapatkan tindakan susulan yang menyeluruh untuk mencegah kejadian seumpama ini berulang, khususnya melibatkan konflik manusia dan hidupan liar.

“Kerajaan Negeri Johor sentiasa cakna dan bertindak proaktif terhadap isu keselamatan rakyat. Perkara ini juga telah diangkat ke peringkat kementerian untuk tindakan lanjut dan pertimbangan peruntukan yang sewajarnya, demi memastikan keselamatan murid, warga sekolah dan komuniti setempat sentiasa terpelihara,” katanya.

Dalam kejadian pukul 6.35 pagi itu, seorang pengawal keselamatan sekolah berkenaan, Abdul Rahman Ahmad, 62, nyaris maut apabila diserang seekor gajah di hadapan pintu masuk sekolah ketika sedang memulakan tugas.

Mangsa dilibas dengan belalai gajah berkenaan sebelum terjatuh ke dalam longkang, menyebabkan kecederaan pada jari tangan kanan, kaki kiri serta bengkak di bahagian pinggang.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast