Onn Hafiz bersama-sama penerima dalam majlis penyerahan inisiatif PKJ di Dewan Serbaguna Bandar Putra, Kulai hari ini.

KULAI – Kerajaan Johor memperluaskan pelaksanaan program Perumahan Kasih Johor (PKJ) bagi membantu lebih ramai rakyat memiliki rumah.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ia termasuk golongan berpendapatan sederhana (M40) sebagai sebahagian daripada strategi menyeluruh menangani tekanan kos sara hidup.

“inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan rakyat Johor mempunyai akses kepada kediaman yang selesa, selamat dan mampu milik memandangkan perumahan merupakan antara komponen terbesar perbelanjaan isi rumah.

“Ini adalah program yang sangat dekat di hati kepimpinan negeri kerana ia menyentuh isu perumahan, antara kos sara hidup paling besar yang ditanggung rakyat,” katanya ketika berucap dalam majlis penyerahan inisiatif PKJ di Dewan Serbaguna Bandar Putra di sini hari ini.

Katanya, agenda perumahan mampu milik digerakkan sejak awal 2022 dan turut mendapat perhatian Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menegaskan keperluan menjadikan perumahan sebagai keutamaan seiring pembangunan ekonomi dan pendidikan negeri.

Menurutnya, Johor pada asalnya menyasarkan pembinaan 21,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) menjelang 2030, namun sasaran itu disemak semula kepada lebih 100,000 unit berikutan permintaan tinggi.

“Dulu orang kata ‘rumah mampu lihat’ tetapi hari ini di Johor, kita benar-benar menyediakan rumah mampu milik,” katanya.

Onn Hafiz turut menafikan dakwaan kononnya bantuan diagihkan secara selektif sambil menegaskan penyaluran bantuan tidak berdasarkan kaum, fahaman politik atau latar belakang sosial.

“Siapa yang berhak mesti dibantu. Tiada kronisme. Ramai penerima hari ini langsung tidak mengenali saya atau Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor,” katanya.

Beliau berkata, antara inisiatif baharu PKJ ialah pemberian bantuan sekali bayar RM5,000 kepada pembeli rumah mampu milik kali pertama, melibatkan 20,000 penerima dengan peruntukan RM80 juta.

Selain itu, Bantuan Masuk Rumah Pertama turut ditingkatkan daripada RM1,000 kepada RM2,000 bagi setiap penerima mulai 2026, dengan peruntukan RM17.83 juta.

“Kerajaan negeri juga memperluaskan bantuan RM2,000 untuk kos kemasukan ke rumah kepada golongan M40 yang membeli rumah berharga RM500,000 dan ke bawah,” katanya.

Onn Hafiz menggesa wakil rakyat menyebarkan maklumat berkenaan kerana lebih ramai dijangka layak menerima bantuan.

Beliau menjelaskan, PKJ merupakan satu daripada empat pendekatan utama di bawah rangka kerja kos sara hidup negeri, Bantuan Bangsa Johor.

Pendekatan lain termasuk Jaringan Kasih Johor yang melibatkan 16 inisiatif bernilai RM550 juta, memberi manfaat kepada lebih sejuta penerima melalui bantuan makanan dan perubatan.

Selain itu, Bantuan Kasih Johor (BKJ) diperuntukkan RM220 juta bagi tempoh 2025 hingga 2026 merangkumi 37 inisiatif untuk anak yatim, ibu tunggal, warga emas, OKU, fakir miskin dan pesakit kanser dengan bantuan antara RM200 hingga RM2,000.

Bagi golongan belia, Belia Kasih Johor menyokong 589,000 penerima melalui 22 inisiatif termasuk bantuan persekolahan, biasiswa, komputer riba, makanan dan keusahawanan.

Beliau berkata, keupayaan Johor menyalurkan bantuan kepada rakyat disokong prestasi ekonomi negeri yang kukuh.

Sepanjang tiga tahun sembilan bulan pentadbirannya, Johor merekodkan pelaburan RM253 bilion, mewujudkan lebih 70,000 peluang pekerjaan dan mengekalkan kadar pengangguran pada 2.5 peratus.

“Antara Januari hingga September 2025 sahaja, Johor mencatatkan pelaburan RM91.1 bilion, tertinggi di negara ini. KDNK negeri berkembang 6.4 peratus hasil negeri mencecah RM2.67 bilion dan jualan sektor pertanian bernilai RM27.2 bilion,” katanya.

Menurutnya, pencapaian itu membolehkan hasil negeri dikembalikan kepada rakyat.

“Apa gunanya pelaburan berbilion ringgit jika rakyat tidak merasai manfaatnya?” soalnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast