Lee Ting Han

JOHOR BAHRU – Johor mengambil beberapa pelbagai inisiatif intervensi dan pendekatan dalam menangani inflasi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor, Lee Ting Han berkata, semua langkah yang diambil itu bukan hanya bersifat reaktif tetapi bersasar dan berstruktur.

Jelas beliau, ia bagi mengurangkan kesan inflasi ke atas golongan yang terkesan, antara langkah utama yang telah dan sedang dilaksanakan, pertamanya dengan menawarkan harga barangan asas berpatutan menerusi program.

Katanya, ia dilakukan melalui program seperti Jualan Kasih Johor serta kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi Jualan Rahmah di ratusan lokasi seluruh negeri.

“Kedua pula bantuan tunai bersasar kepada golongan tertentu melalui Bantuan Kasih Johor (BKJ). Ketiga pula peningkatan kemahiran dan sokongan pendidikan melalui Johor Talent Development Council (JTDC).

“Ini bagi memperkukuh kebolehpasaran serta pendapatan rakyat dalam menghadapi perubahan kos dan struktur ekonomi, katanya dalam kenyataan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, keempat adalah langkah pemerkasaan peniaga kecil dan usahawan mikro melalui Perbadanan Usahawan Johor (PUJB), termasuk program pembiayaan, bimbingan pemasaran serta pengukuhan rantaian bekalan tempatan.

Menurutnya, kelima pula dengan penyediaan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) melalui Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) secara berperingkat-peringkat, termasuk sasaran 100,000 unit menjelang 2030 bagi menangani komponen kos sara hidup terbesar rakyat.

Keenam katanya, penyediaan Bas Muafakat Johor melalui Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) bagi meningkatkan akses pengangkutan awam, mengurangkan kos mobiliti harian rakyat serta memperluas keterhubungan antara kawasan bandar dan luar bandar.

“Melalui langkah-langkah ini, kerajaan negeri berusaha menangani komponen utama inflasi: makanan, perumahan dan pengangkutan mengikut kemampuan dan bidang kuasa Kerajaan Negeri Johor.

“Lebih banyak inisiatif dan strategi sedang dirangka dan akan diumumkan kelak,” ujarnya.

Ting Han berkata, di peringkat struktur ekonomi, kerajaan negeri memberi tumpuan jangka panjang terhadap pengukuhan asas dan daya saing ekonomi Johor melalui penciptaan pekerjaan berpendapatan lebih tinggi serta pembangunan sektor bernilai tambah.

Usaha itu katanya, dilaksanakan menerusi inisiatif strategik seperti Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) dan Johor Economic Transformation Programme (JETP), dengan matlamat membina ekonomi negeri yang lebih produktif, berdaya tahan dan berkeupayaan meningkatkan kuasa beli rakyat secara mampan.

Tegasnya, pengurusan inflasi dan kos sara hidup memerlukan kepimpinan yang berfakta, berpandukan data dan berpandangan jauh.

Kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan dan semua lapisan masyarakat untuk memastikan kestabilan ekonomi negeri, pertumbuhan yang inklusif serta kesejahteraan Bangsa Johor terus terpelihara.

Ting Han berkata, kerajaan negeri maklum pandangan dan kebimbangan yang dibangkitkan berhubung kadar inflasi Johor bagi Disember 2025 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) baru-baru ini.

Tambahnya, kerajaan negeri menghormati perbincangan awam mengenai kos sara hidup, namun menekankan bahawa sebarang penilaian terhadap kesejahteraan ekonomi rakyat tidak boleh disandarkan kepada satu indikator semata-mata.

“Ia perlu dilihat bersama tren inflasi tahunan, pertumbuhan pendapatan, peluang pekerjaan, tahap pelaburan serta kekuatan fiskal negeri,” katanya.

Katanya lagi, dalam konteks itu Johor menunjukkan asas ekonomi yang kukuh dan dinamik, termasuk prestasi pertumbuhan ekonomi serta tarikan pelaburan dan peranan serantau.

“Hakikatnya, inflasi bukan fenomena yang bersifat negeri semata-mata. Ia dipengaruhi oleh gabungan faktor nasional dan global termasuk harga makanan dan bahan mentah import, kos logistik antarabangsa, turun naik nilai mata wang, struktur rantaian bekalan serantau serta ketidaktentuan geopolitik dunia.

“Faktor-faktor ini memberi kesan kepada semua negeri dan perlu dinilai dalam konteks ekonomi terbuka Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast