JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menambah 300 tempat melibatkan beberapa kursus pengajian pada tahun ini.
Naib Canselor UTM, Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim berkata, antara penambahan yang akan dibuat adalah unjuran pelajar tempatan kepada universiti termasuk menambah seksyen pengajian bagi sesuatu bidang.
“Sebagai contoh, bidang perakaunan, kecerdasan buatan (AI) dan kejuruteraan data antara yang ditambah seksyen, manakala bidang analisis perniagaan yang juga satu kursus baharu akan terus diperkasakan.
“Perbincangan mengenai penambahan tempat ini telah pun dibincangkan sebelum Belanjawan 2026 lagi. Jadi, kita memang sudah membuat persiapan yang wajar.
“Bidang perakaunan akan ditambah satu seksyen, program AI satu seksyen lagi ditambah di Johor Bahru, program ‘data engineering’ lebih kurang 30 tempat ditambah dan ada program baharu ‘business analitic’ yang juga menjadi keperluan negara sekarang inu turut ditambah.
“Ada lagi beberapa program lain meliputi program industri semi konduktor dan AI yang pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) minta kita tambah menjadikan daripada jumlah tambahan yang diumumkan iaitu 1,500 bagi semua IPTA (Institut Pengajian Tinggi Awam), anggaran secara kasar UTM akan tambah sebanyak 300 tempat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perutusan Tahun Baharu 2026 Naib Canselor UTM dan Peluncuran Pelan Strategik UTM (UTM Ascend) 2030 di Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Skudai di sini, hari ini.
Penambahan itu katanya, selari dengan inisiatif dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026 – 2035 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, 20 Januari lalu.
Mengulas lanjut mengenai RPTM 2026 – 2035 itu, Mohd Shafry berkata, UTM mengambil peluang menyediakan 2,000 unit kediaman di tanah milik mereka di Setapak, Kuala Lumpur di bawah inisiatif tambahan 5,000 penginapan pelajar dengan kerjasama syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
“Setakat ini kita belum tahu GLIC mana yang kita akan kerjasama, kita sedang menunggu maklumat daripada KPT juga.
“Saya percaya KPT akan adakan perbincangan khusus dan kita secara prinsipnya memberi tawaran kepada KPT untuk pilih kita kerana kita ada tanah di Setapak seluas lebih 23.47 hektar untuk dibangunkan.
“Kita sudah mendapat kebenaran merancang, saya kira ia bermaksud sedia untuk dibangunkan, jadi di bawah inisiatif ini, kita boleh tawarkan tempat itu yang bukan sahaja boleh beri manfaat kepada warga UTM yang kita percaya ada penambahan, dan juga buat warga sekitar berhampiran UTM,” jelasnya.
Selain itu, Mohd Shafry berkata, UTM sedia melaksanakan inisiatif lain yang diumumkan dalam RPTM 2026-2035 itu termasuk pendidikan percuma kepada pelajar orang kurang upaya (OKU).
“Apa yang diumumkan, kita sedia laksanakan dan kita buat persiapan ke arah itu. Proses persiapan sedang dilakukan sebaik sahaja menerima pengumuman berkenaan,” katanya.
RPTM 2026-2035 menggariskan hala tuju baharu pendidikan tinggi negara yang berteraskan nilai kemanusiaan, kesejahteraan dan kemampanan bagi melahirkan insan berilmu, beretika serta berdaya saing pada peringkat global.- MalaysiaGazette
















