JOHOR BAHRU – Malaysian Trades Union Congress (MTUC) seharusnya menjadi suara lantang yang memperjuangkan kepentingan semua lapisan pekerja dan bukan lebih tertumpu kepada isu gaji minimum semata-mata.
Timbalan Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Zainuddin Adan berkata, MTUC perlu berdepan realiti dan masalah semasa yang sedang dihadapi graduan muda dan pekerja tempatan ketika ini.
Mereka katanya, masih menunggu satu suara yang benar-benar memperjuangkan gaji permulaan yang bermaruah serta setara dengan kelayakan mereka.
“Program-program besar yang dibawa oleh MTUC seperti pindaan undang-undang buruh dan latihan semula pekerja wajar diteliti secara kritikal daripada sudut sejauh mana ia benar-benar memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.
“Ini kerana pekerja bergaji minimum kebanyakannya terdiri daripada pekerja asing, manakala pekerja tempatan dan graduan muda masih terpinggir daripada agenda utama,” katanya dalam kenyataan.

Beliau maklum kerajaan baru-baru ini melaksanakan kenaikan gaji penjawat awam melalui pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) 2.0 dengan peruntukan kewangan yang besar.
Zainuddin mengakui langkah tersebut sememangnya memberikan kelegaan kepada sektor awam.
“Namun begitu, dalam masa yang sama, pekerja swasta serta graduan muda masih terus berdepan dengan realiti gaji rendah yang tidak setimpal dengan kelayakan akademik dan beban kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.
Justeru katanya, timbul persoalan sama ada pekerja swasta di Malaysia memerlukan sebuah badan yang lebih berani dan inklusif dalam menjaga kebajikan semua lapisan pekerja tanpa pengecualian.
Katanya, graduan muda tidak mahu sekadar bertahan hidup dengan gaji minimum yang hanya cukup menampung keperluan asas.
Mereka mendambakan gaji permulaan yang bermaruah, peluang pekerjaan yang berkualiti serta perlindungan kontrak yang adil, katanya.
Namun realitinya dakwa beliau, kebanyakan majikan masih enggan menawarkan gaji yang setimpal dengan kelayakan akademik, sebaliknya berpandukan kepada purata pasaran semasa yang menekan pekerja.
“Tanpa tindakan tegas kerajaan melalui undang-undang atau keputusan dasar yang jelas, isu ini akan terus berlarutan tanpa penyelesaian,” katanya.
Zainuddin menambah, hakikatnya pertumbuhan ekonomi tanpa kesejahteraan rakyat hanya angka kosong.
Tegasnya, Malaysia memerlukan satu suara yang berani dan tegas dalam memperjuangkan gaji permulaan yang bermaruah, bukan sekadar bergantung kepada penetapan gaji minimum semata-mata.- MalaysiaGazette
















