Suhaimi (kiri) menunjukkan lokasi kebakaran tanah gambut di Taman Bayu Damai, Kota Tinggi sehingga penduduk terpaksa dipindahkan ke dewan serbaguna.

KOTA TINGGI – Seramai 52 penduduk dipindahkan ke Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai di sini susulan kebakaran tanah gambut di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai sejak Jumaat lalu.

Ketua Kampung Sungai Kapal, Suhaimi Sujak berkata, pemindahan berkenaan melibatkan 17 keluarga dari taman tersebut iaitu 16 lelaki dewasa, 23 wanita dewasa dan 13 kanak-kanak.

“Kebakaran tanah gambut yang berlaku kali ini dilihat kritikal ekoran penduduk terpaksa berpindah kerana tidak tahan dengan asap sehingga menjejaskan kesihatan mereka.

“Kebakaran melibatkan jarak kira-kira 50 ke 100 meter dari penempatan penduduk,” katanya ketika ditemui pemberita di Taman Bayu Damai hari ini.

Dia berkata, bermula dari dua keluarga kemudian semakin bertambah kerana penduduk pada awalnya bertahan di rumah namun semakin hari mula rasa tidak selesa dan mulai sakit tekak, pedih mata dan sebagainya.

Namun katanya, ada juga penduduk yang masih enggan berpindah kerana takut meninggalkan rumah berbanding keselamatan diri.

“Tetapi jika keadaan semakin teruk mereka harus berpindah juga. Setakat ini keadaan penduduk masih terkawal dan hanya menjalani pemeriksaan biasa sahaja akibat asap kebakaran tersebut,” katanya.

Sementara itu, Amir Badri Mohd Nor, 38, antara penduduk terawal yang terjejas akibat kebakaran itu memaklumkan dia dipindahkan ke dewan itu sejak Sabtu lalu.

Menurutnya, kebakaran bertukar serius pada petang Jumaat, apabila tiupan angin membawa asap tebal terus ke rumahnya.

Katanya, walaupun semua tingkap dan pintu ditutup, asap tetap masuk ke dalam rumah melalui celah-celah kecil seperti lubang kunci dan bahagian bawah pintu.

“Petang Jumaat itu memang teruk, jarak penglihatan sekitar 50 meter sahaja. Malam pula kami tidur dalam asap.

“Tambahan pula saya ada anak yang masih kecil. Anak-anak pula mula batuk, mata gatal dan tekak perit.

“Jadi bila diminta pindah kami terus pindah untuk keselamatan. Alhamdulillah, petugas Klinik Kesihatan Bayu Damai juga ada datang buat pemeriksaan di sini,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Harita Jamal, 47, mendakwa terpaksa meninggalkan rumah petang semalam selepas keadaan menjadi terlalu berbahaya, terutamanya kepada ibunya yang sudah berusia dan mempunyai pelbagai penyakit.

“Masuk rumah pun dah rasa sakit dada dan sakit kepala. Mak saya pun takut pengsan. Kami pakai pelitup muka sepanjang masa sebelum berpindah ke pusat transit.

“Kira-kira 10 tahun menetap di kawasan ini, ini adalah kebakaran yang paling teruk pernah kami alami, walaupun kejadian sama pernah berlaku setiap tahun yang ini paling teruk.

“Anak-anak tak boleh sekolah, saya pun tak boleh bekerja buat sementara waktu sebab perlu menguruskan keluarga terutama mak yang tidak sihat,” katanya.

Dia berharap pihak berkaitan dapat mempercepatkan usaha memadam kebakaran agar penduduk dapat pulang ke rumah masing-masing lebih-lebih lagi menjelang Ramadan tidak lama lagi.

“Kami tak minta lebih, cuma nak cepat balik rumah dan hidup seperti biasa,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast