MELAKA – Kes video tular memaparkan seorang lelaki yang didakwa setiausaha masjid sedang menonton video lucah dalam pejabat masjid di Bukit Baru, di sini minggu lalu akan dibincangkan dalam mesyuarat esok.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Tadbir Urus Masjid (JKTU) itu seterusnya akan menentukan apakah tindakan selanjutnya yang akan diambil.
“Esok kita akan bincangkan dalam mesyuarat JKTU yang dijangka tamat pada jam 11 pagi dan selepas itu barulah saya boleh maklumkan keputusannya.
“Mesyuarat akan dipengerusikan saya sendiri dan sama ada diadakan jemputan atau sidang media akan dimaklumkan nanti,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.
Ditanya adakah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sudah menggantung sementara tugas keseluruhan jawatan kuasa pengurusan Masjid Al-Ehsan susulan kes itu, Rahmad berkata, ia akan diputuskan esok.
MalaysiaGazette hari ini melaporkan cadangan mantan Ahli Lembaga MAIM, Datuk Kamaruddin Sidek menggesa supaya JAIM mengambil alih pentadbiran masjid buat sementara waktu.
Cadangan itu susulan dakwaan berlakunya salah laku moral yang serius melibatkan setiausaha masjid dan kelemahan struktur pentadbiran itu juga didakwa berpunca daripada pelantikan berasaskan kepentingan politik.
Pada 21 Januari lalu, MalaysiaGazette melaporkan tular sebuah video berdurasi 1 minit 59 saat memaparkan seorang lelaki didakwa setiausaha masjid berkenaan yang turut dikaitkan dengan sebuah parti politik sedang leka menonton video lucah menerusi komputer meja dalam pejabat masjid.
Rakaman pada 27 Disember 2025 itu diambil Imam 3 Masjid Al-Ehsan, Muhammad Adhan Adnan, 26, yang turut disaksikan dua individu lain sebagai rujukan dalaman AJK masjid dan JAIM sahaja dan bukannya untuk disebarkan kepada umum.
Ia bagaimanapun tular minggu lalu mencetuskan pelbagai reaksi netizen yang rata-rata mengecam perbuatan mendedahkan identiti serta aib suspek dan sepatutnya diselesaikan mengikut saluran undang-undang.
Susulan itu, Muhammad Adhan kemudian membuat laporan polis dan melepaskan jawatannya itu berkuat kuasa 21 Januari lalu selepas menerima arahan daripada pengerusi masjid berhubung isu itu. – MalaysiaGazette
















