KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga asing didenda RM300 selepas didapati bersalah membuang puntung rokok di kawasan awam sekitar Menara Alor Setar, Kedah.
Mahkamah Sesyen Alor Setar turut memerintahkan lelaki tersebut menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) selama enam jam dalam tempoh dua bulan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Khalid Mohamed berkata, pelaksanaan maksimum satu jam sehari itu selaras dengan peruntukan Seksyen 77B Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Katanya, sehingga kini SWCorp telah mengeluarkan 494 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) di tujuh buah negeri yang melaksanakan akta tersebut.
“Daripada jumlah tersebut 377 kes melibatkan warganegara tempatan manakala 117 kes melibatkan warganegara asing,” katanya lagi.
Khalid berkata, sehingga semalam, SWCorp sudah mengeluarkan 120 NKP di negeri itu.
Menurutnya, 37 kes telah mendapat kebenaran untuk pendakwaaan termasuk dua kes akan disebut di mahkamah pada 12 dan 16 Februari akan datang.
Ia melibatkan 103 kes warganegara tempatan dan 17 warga asing.
Daripada jumlah tersebut, 57 kes telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Dalam masa yang sama Khalid berkata, perbadanan tersebut juga telah mengeluarkan 27 notis Pemberitahuan Kesalahan di kawasan Rehat dan rawat (R&R).- MalaysiaGazette
















