Alexander dan Ahmad secara simbolik merasmikan Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Penyerahan Projek Siap Jambatan Sungai Pontian Kecil, Pontian hari ini.

PONTIAN – Pencemaran di Ulu Sungai Johor, Kota Tinggi yang berlaku sejak kelmarin tidak menyebabkan loji rawatan air (LRA) ditutup setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh memaklumkan, LRA masih beroperasi dan bekalan air kepada pengguna juga seperti biasa.

“Pencemaran tersebut dikesan pukul 3.48 petang. Berdasarkan laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS) pencemaran dipercayai berpunca daripada sebuah kilang sawit.

“Anggota Badan Kawal Selia Air Johor (BKAJ) akan turun memantau keadaan pencemaran yang berlaku,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pecah Tanah dan Penyerahan Projek Siap peringkat daerah di Pontian Besar di sini hari ini.

Pada Oktober tahun lalu, portal ini melaporkan air di sepanjang Ulu Sungai Johor bertukar warna menjadi putih seakan susu dipercayai kerana tercemar.

Pencemaran berlaku apabila kolam cucian pasir pecah di Ulu Sungai Johor berdekatan Kampung Orang Asli Sayong Pinang.

Pencemaran yang berlaku turut menjejaskan aktiviti kira-kira 150 nelayan di sepanjang Ulu Sungai Johor dan turut menjejaskan 1.8 juta penduduk, atau lebih 455,757 pengguna akaun air di empat daerah iaitu Johor Bahru, Kulai, Pontian dan Kota Tinggi akibat pencemaran Sungai Johor.

Mengulas lanjut, Mohamad Fazli berkata, kerajaan negeri memandang serius isu pencemaran sumber air mentah dan sedang merangka pelan jangka panjang bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Jelas beliau, lima sungai utama yang merupakan sumber air mentah Johor iaitu Sungai Johor, Sungai Muar, Sungai Pontian, Sungai Endau dan Sungai Sedili akan digazetkan dalam masa terdekat.

“Bagaimanapun usaha mewartawakan sungai berdepan cabaran terutama di Sungai Johor berikutan pembangunan sedia ada yang telah bertapak di kawasan sungai.

“Oleh itu, kita sedang mendapatkan ulasan jabatan berkaitan bagi menetapkan perimeter, jarak zon perlindungan serta mengenal pasti potensi pencemaran sebelum penggazetan dilaksanakan,” jelasnya.

Pada masa sama katanya, kerajaan negeri turut memperketatkan kawalan pembangunan baharu dengan mewajibkan penglibatan awal Jabatan Alam Sekitar (JAS), laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) serta sokongan agensi teknikal lain.

“Sebagai langkah pencegahan awal, enam sistem telemetri telah dipasang di Sungai Johor dan enam lagi akan dipasang tahun ini di kawasan berhampiran loji rawatan air bagi mengesan pencemaran lebih awal.

“Kita faham kebimbangan rakyat, sebab itu pelan kecemasan melibatkan pelbagai agensi telah disediakan bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil sekiranya berlaku pencemaran,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast