JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri perlu memberi perhatian serius terhadap isu graduan yang semakin ramai terperangkap dalam sektor pekerjaan berasaskan kontrak jangka pendek atau dilakukan secara bebas (freelance).
Timbalan Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Zainuddin Adan berkata, situasi berkenaan yang dinamakan terperangkap dalam sektor ekonomi gig berlaku kerana keadaan semasa.
“Pejuang Johor menegaskan kerajaan negeri perlu memberi perhatian serius terhadap isu graduan yang semakin ramai terperangkap dalam sektor ekonomi gig.
“Keadaan ini berlaku sama ada akibat kesukaran mendapatkan pekerjaan formal, kehilangan pekerjaan atau masalah ketidakpadanan kemahiran antara kelayakan akademik dan keperluan industri.

“Laluan yang jelas dan tersusun ke sektor pekerjaan formal dengan pendapatan lebih tinggi serta perlindungan sosial penuh mesti diwujudkan dengan segera bagi memastikan masa depan graduan dan tenaga kerja tempatan lebih terjamin,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pada masa ini, lebih dua juta graduan di Malaysia dilaporkan bekerja di bawah tahap kelayakan akademik mereka akibat masalah ketidakpadanan kemahiran.
Di samping itu ujarnya, dianggarkan antara 25 hingga 30 peratus tenaga kerja negara kini bergantung kepada ekonomi gig, termasuk lebih 1.2 juta pekerja e-hailing.
Walaupun kadar pengangguran rasmi negara berada pada paras 2.9 peratus, Zainuddin berkata, realitinya sebahagian besar peluang pekerjaan yang wujud tidak menjamin pendapatan mencukupi dan tidak mencerminkan tahap kemakmuran sebenar rakyat.
Pendapatan dalam sektor gig katanya, memang boleh mencecah antara RM5,000 hingga RM7,000 sebulan, namun lazimnya dicapai melalui waktu kerja yang panjang, iaitu sekitar 10 hingga 12 jam sehari.
“Pendapatan ini pula tidak stabil dan semakin tertekan akibat fenomena overcrowding effect, di mana terlalu ramai pekerja memasuki sektor gig, sekali gus memberi ruang kepada syarikat platform untuk menurunkan kadar bayaran,” katanya.
Pejuang Johor menegaskan bahawa kenyataan ini bukan bertujuan merendahkan martabat pekerja gig yang sememangnya menjadi tulang belakang ekonomi harian rakyat.
“Tetapi untuk menekankan realiti bahawa sektor ini bergantung kepada kerja berlebihan tanpa perlindungan sosial menyeluruh dan mudah terdedah kepada tekanan majikan platform,” ujarnya.
Hakikatnya, ramai graduan berkelulusan tinggi akhirnya terperangkap dalam pekerjaan yang jauh di bawah tahap kelayakan mereka, katanya.
“Oleh itu, graduan dan pekerja yang terpaksa bergantung kepada sektor gig perlu diberikan laluan keluar yang jelas dan berstruktur ke arah kerjaya formal bergaji premium dengan jaminan masa depan yang lebih kukuh dan stabil,” katanya.
Sehubungan itu, Pejuang Johor mencadangkan agar kerajaan negeri Johor melaksanakan satu pelan transformasi menyeluruh bermula dengan pengenalan skim sokongan pendapatan sementara.
“Skim ini dicadangkan menyediakan elaun bulanan antara RM1,000 hingga RM1,500 sepanjang tempoh latihan selama tiga hingga enam bulan, bagi memastikan graduan dan pekerja tidak kehilangan sumber pendapatan ketika meningkatkan kemahiran mereka,” katanya.
Selain itu katanya, jaminan penempatan kerja formal selepas tamat latihan perlu diwujudkan, dengan sasaran gaji premium sekurang-kurangnya RM3,500 ke atas.
Menurutnya, majikan yang bersedia menyerap graduan dan pekerja ini ke dalam sektor formal boleh diberikan insentif seperti potongan cukai berganda bagi menggalakkan penyertaan sektor swasta.
Kata beliau lagi, latihan yang ditawarkan pula perlu bersifat modular dan fleksibel, melibatkan kursus singkat antara satu hingga empat minggu dalam bidang yang relevan seperti teknologi maklumat, pentadbiran digital, agro-teknologi dan penyelenggaraan kenderaan elektrik.
Modul latihan itu jelasnya, boleh dijalankan di pusat komuniti, universiti atau melalui platform digital bagi memastikan akses yang lebih luas dan inklusif.
Pejuang Johor turut mencadangkan pelaksanaan model hibrid transisi, di mana graduan dibenarkan bekerja separuh masa dalam sektor formal sambil mengekalkan pekerjaan gig dalam tempoh peralihan.
“Selepas tempoh enam hingga dua belas bulan, mereka digalakkan untuk beralih sepenuhnya ke sektor formal apabila kedudukan kerjaya dan pendapatan menjadi lebih stabil.
“Di samping itu, satu program khas yang dinamakan Second Chance Career perlu diwujudkan bagi membantu graduan dan pekerja yang kehilangan pekerjaan.
“Program ini bertujuan memberi peluang kedua untuk membina semula kerjaya formal dengan pendapatan premium serta perlindungan sosial penuh,” katanya.
Pada masa ini katanya, Skim Insurans Pekerjaan (SIP) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hanya menyediakan bantuan kewangan sementara selama tiga hingga enam bulan serta kursus jangka pendek yang bersifat kelangsungan hidup.
Walaupun bantuan itu meringankan beban sementara, beliau menganggap ia masih belum menjamin pembinaan kerjaya jangka panjang yang stabil.
Golongan yang kehilangan pekerjaan memerlukan latihan yang lebih mendalam dan relevan agar mereka benar-benar mampu membina semula kerjaya dalam sektor formal.- MalaysiaGazette
















