Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) perlu memposisikan diri sebagai sebuah rumah politik yang stabil dalam dunia yang semakin tidak menentu dalam menyantuni pengundi muda.

Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, di saat politik sering dipersembahkan sebagai medan pertengkaran dan drama, ketenangan dan rasionaliti menjadi nilai yang jarang, tetapi sangat diperlukan.

Menurutnya, BN perlu menyampaikan bahawa ia bukan parti paling lantang bersuara, namun parti yang paling bersedia memikul tanggungjawab apabila keadaan menjadi sukar.

“Inilah kesinambungan tradisi kesederhanaan yang diterjemahkan dalam bahasa masa kini,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau sebagai reaksi kepada Forum Better Nation ke-9 bertajuk Model Baharu Barisan Nasional: Antara Tradisi Politik & Tuntutan Perubahan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) di sini, malam tadi.

Sementara itu, Nurulhidayah yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bagan Datuk berkata, BN perlu akur dengan tuntutan perubahan hari ini, yang bukan semata-mata soal wajah baharu atau slogan segar.

Sebaliknya, menurut beliau, ia merangkumi perubahan cara berfikir dan gaya berkomunikasi yang mana generasi pengundi yang lebih muda menilai jenama politik melalui lensa sosial media.

Pada persimpangan itu, tambahnya, cabaran terbesar BN ialah mengharmonikan tradisi dengan pembaharuan dengan jenama BN tidak harus terperangkap dalam nostalgia, sebaliknya memanfaatkan sejarah sebagai legitimasi untuk berubah dengan lebih berani tanpa mengetepikan adab.

“Kekuatan jenama BN tidak terletak pada memilih antara tradisi atau perubahan, tetapi pada kebijaksanaan menyatukan kedua-duanya.

“Jika BN mampu menjelmakan perubahan sebagai kesinambungan bukan penolakan, maka jenamanya boleh kembali diyakini sebagai payung kestabilan yang responsif, matang dan berpandangan jauh dalam landskap politik Malaysia yang semakin dinamik,” katanya.

Tambah Nurulhidayah, mesej paling penting yang perlu disampaikan ialah bahawa perubahan BN tidak memutuskan tradisi, sebaliknya memperbaharuinya.

Jelasnya, tradisi memberi asas moral dan institusi, manakala perubahan memberi nafas dan relevansi.

“Apabila kedua-duanya disatukan dengan jujur, BN boleh tampil sebagai pilihan yang matang kepada pengundi muda iaitu sebuah jenama politik yang belajar daripada masa lalu, memahami cabaran masa kini dan bertanggungjawab terhadap masa depan.

“Inilah pendekatan baharu yang tidak mengkhianati tradisi, tetapi memuliakannya,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast