KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen pembangkang menyindir pendekatan Kerajaan Madani dalam memperkenalkan dasar baharu pendidikan negara yang disifatkan sebagai “umum dahulu, kajian kemudian” khususnya berkaitan pelaksanaan kemasukan murid Darjah Satu pada usia enam tahun.
Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN–Alor Setar) berkata, cara pengumuman dasar tersebut dibuat telah menimbulkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan ibu bapa, guru serta pemain industri pendidikan awal kanak-kanak.
Menurutnya, pengumuman awal mengenai pelaksanaan ujian diagnostik sebelum dibatalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas menunjukkan dasar itu dibuat tanpa kajian menyeluruh dan data yang mencukupi.
“Dasar besar seperti ini tidak boleh diumumkan secara tergesa-gesa. Akibatnya ibu bapa menjadi resah, guru kelam-kabut dan pihak sekolah tidak pasti tentang kesiapsiagaan bilik darjah, silibus serta jumlah guru,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Afnan turut mempersoalkan tahap kesiapsiagaan sistem pendidikan negara memandangkan dasar itu sebelum ini dibentangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan jangka pelaksanaan lima tahun, namun kini dilihat ingin dilaksanakan dalam tempoh kurang setahun.
“Tiba-tiba umum Januari tahun lepas terus mula. Tak sampai setahun. Adakah sekolah kita benar-benar bersedia? Cukupkah bilik darjah? Guru kita macam mana? Bagaimana pula dengan ibu bapa?
“Dasar pendidikan bukan boleh dibuat dengan cara tekan butang cepat terus jadi. Tak boleh,” katanya sambil menegaskan perubahan besar memerlukan perancangan rapi dan persediaan menyeluruh.
Selain itu, beliau menegaskan, kesan dasar tersebut terhadap sektor prasekolah khususnya prasekolah swasta masih belum diberikan perhatian sewajarnya oleh kerajaan.
Katanya, pelaksanaan dasar itu berpotensi menyebabkan prasekolah swasta kehilangan separuh pelajar berusia enam tahun, sekali gus menjejaskan pendapatan pengusaha serta mengancam kelangsungan puluhan ribu guru prasekolah di seluruh negara.
“Kami bukan menolak perubahan tetapi kami menolak perubahan yang dibuat secara terlalu cepat dan tergesa-gesa,” katanya sambil menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan dasar berkenaan serta menjalankan kajian menyeluruh termasuk penilaian impak terhadap industri prasekolah.
Semalam, Perdana Menteri bersetuju supaya ujian saringan diagnostik bagi menentukan kelayakan kanak-kanak memasuki Tahun Satu seawal usia enam tahun mulai sesi persekolahan 2027 tidak dilaksanakan.
Beliau berkata, perkara itu telah diteliti termasuk kebimbangan bahawa pelaksanaan ujian diagnostik boleh memberi kesan psikologi serta bersifat diskriminatif terhadap kanak-kanak. – MalaysiaGazette
















