KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Parlimen pembangkang menyatakan sokongan penuh terhadap tuntutan Kerajaan Negeri Kedah ke atas Pulau Pinang.
Malah beliau berpandangan isu berkenaan wajar diselesaikan melalui proses perundangan di mahkamah.
Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN- Langkawi) berkata demikian merujuk ucapan Chow Kon Yeow (PH-Batu Kawan) dalam sidang Dewan Rakyat semalam yang secara berseloroh menyatakan bahawa sebarang ucapan, tuntutan atau hujah berkaitan perkara itu boleh dibuat kemudian atau dibawa terus ke mahkamah.
“Semalam, semasa Yang Berhormat Sik ingin mencelah, beliau secara berseloroh berkata kalau mahu ucap, ucap nanti, kalau mahu tuntut, tuntut nanti, kalau mahu bicara pergi mahkamah,” katanya ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Mohd Suhaimi, kenyataan tersebut menunjukkan tiada lagi isu untuk diperdebatkan di Dewan Rakyat sekiranya semua pihak bersetuju penyelesaian dibuat melalui saluran mahkamah.
“Kalau Batu Kawan kata, kita pergi ke mahkamah maka saya rasa tidak ada isu lagi. Kita tumpu di mahkamah sahaja, kenapa perlu dibincangkan lagi,” katanya.
Semalam, Kon Yeow ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong menegaskan, tuntutan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor terhadap Pulau Pinang tidak berasas serta bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip federalisme Malaysia.
Beliau berkata, Pulau Pinang telah diiktiraf sebagai sebuah negeri berdaulat sejak kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957 dan kedudukannya diperkuatkan lagi menerusi Perjanjian Malaysia 1963.
Kon Yeow turut menjelaskan sempadan negeri Pulau Pinang dan Kedah telah ditetapkan secara sah melalui Akta Kedah dan Pulau Pinang (Pengubahan Sempadan) 1985 [Akta 325] yang digubal di Parlimen mengikut Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, Mohd Suhaimi menegaskan, rakyat Kedah menyokong penuh pendirian Menteri Besar Kedah dalam isu tuntutan tersebut dan menyifatkan sokongan itu sebagai berlandaskan undang-undang serta titah Sultan Kedah.
“Kami rakyat Kedah hanya menjunjung titah Tuanku Sultan dengan membawa isu ini ke mahkamah. Tuanku Sultan telah memberi perkenan,” katanya sambil menambah sekiranya semua pihak bersetuju dengan laluan perundangan maka proses itu wajar diteruskan.
“Kalau itulah semangatnya, kita jumpa di mahkamah. Insya-Allah, perkara ini akan selesai,” katanya. – MalaysiaGazette
















