Muhyiddin Yassin.

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan kemelut politik di Perlis telah diselesaikan mengikut tanggungjawab Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin ibni Tuanku Syed Putra Jamalullail secara berperlembagaan.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pergolakan seperti perbalahan Bersatu dan Pas serta pertukaran Menteri Besar, tidak menggugat kestabilan negara sekiranya kerajaan pusat kukuh.

“Masalah (krisis politik) yang berlaku di Perlis sudah diselesaikan dan telah pun dilaksanakan ikut tanggungjawab Raja Perlis secara perlembagaan. Jadi apa pun masalah, sudah pun diselesaikan.

“Perlis tak hancur. Perlis adalah sebuah negeri yang berdaulat dan telah pun kita selesaikan dengan secara bijaksana,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, RSN Rayer (PH-Jelutong) menyentuh pergolakan politik di Perlis dan implikasinya terhadap Perjanjian Timbal Balas Amerika Syarikat (ART).

Menjawabnya, Muhyiddin menegaskan; “Tak berapa relevan dengan apa yang sedang kita bincangkan, sengaja nak bangkitkan isu ini untuk menunjukkan niat dan hasrat yang saya fikir tidak baik”.

Beliau menekankan pengalaman krisis kecil di negeri harus dijadikan panduan bagi memastikan kerajaan pusat terus berfungsi mantap dan rakyat tidak terjejas.

Kestabilan politik, katanya, adalah kunci menghadapi sebarang rundingan atau perjanjian antarabangsa.

Muhyiddin sebelum ini menegaskan, Bersatu tidak terlibat dalam krisis Perlis dan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan parti itu mensabotaj Pas.

“Bersatu tidak memainkan peranan dalam mensabotaj Pas di Perlis dan dakwaan sebagai pengkhianat adalah tidak betul,” jelasnya.

Krisis politik Perlis bermula selepas lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu bersama tiga ADUN Pas menghantar akuan bersumpah bagi menggantikan Menteri Besar Mohd Shukri Ramli yang meletak jawatan sukarela atas faktor kesihatan pada 25 Disember tahun lalu.

Bersatu mengemukakan tiga calon Menteri Besar iaitu Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Megat Hashirat Hassan (Pauh) dan Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), manakala Pas mengemukakan dua nama calon selepas itu.

Kemelut itu berakhir apabila ADUN Kuala Perlis daripada Bersatu, Abu Bakar Hamzah, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis kesembilan, menamatkan ketegangan politik di negeri tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast