Dr. Zulkifli Hasan

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan tampil menjelaskan mengenai jawapannya berkenaan tekanan kerja mungkin menjadi salah satu punca individu terjebak dalam komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang mencetuskan pertikaian.

Menurutnya, beliau dengan rendah hati mengajak orang ramai bersama-sama memberikan penekanan terhadap keperluan bertabayyun bagi mendapatkan maklumat yang betul, dan merujuk kepada sumber yang sahih, dengan konteks yang tepat dan menyeluruh.

Sehubungan itu, beliau menjemput semua termasuk ahli-ahli Parlimen dan seluruh anggota masyarakat untuk merujuk dan meneliti dengan jujur jawapan penuh bertulis beliau berhubung isu itu di https://www.parlimen.gov.my/jawapan-lisan-dr.html?uweb=dr.

“Bersama-sama kita mengamalkan prinsip tabayyun dengan merujuk kepada kenyataan dan penjelasan penuh, serta tidak membuat kesimpulan hanya berdasarkan tajuk semata-mata.

“Saya menegaskan bahawa Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menolak normalisasi LGBT kerana bercanggah dengan agama, moral dan nilai masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Semalam, Zulkifli dikritik banyak pihak susulan jawapannya di Parlimen berkenaan tekanan kerja mungkin menjadi salah satu punca individu terjebak dalam komuniti LGBT.

Merujuk kepada sebuah kajian pada 2017, beliau menyatakan bahawa pengaruh sosial, pengalaman seksual, dan faktor peribadi lain turut mempengaruhi seseorang terbabit dengan LGBT.

Beliau menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN–Rantau Panjang) yang meminta Perdana Menteri memberikan data dan statistik terkini mengenai trend berkaitan isu LGBT di Malaysia, termasuk pecahan peratusan dan kumpulan umur yang terlibat, serta komposisi etnik berdasarkan kajian nasional atau laporan agensi berkaitan, serta faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kes LGBT di negara ini.

Bagaimanapun, Zulkifli dalam jawapan bertulis itu menjelaskan, kerajaan tidak mempunyai statistik mengenai jumlah populasi LGBT. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast