Bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Datuk Mohd Razali Alias tiba di Mahkamah Sesyen bagi menghadapi tiga pertuduhan rasuah di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 29 JANUARI 2026

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Datuk Mohd. Razali Alias mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas satu pertuduhan menerima rasuah berjumlah AS$20,000.

Razali, 60, yang merupakan bekas pegawai tertinggi Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO), turut meminta dibicarakan di hadapan Hakim Suzana Hussin atas dua pertuduhan menerima suapan bagi pihak isterinya melibatkan pembayaran tiket penerbangan ke luar negara berjumlah RM64,600.

Pertuduhan pertama, tertuduh didakwa secara rasuah menerima suapan bagi dirinya wang berjumlah AS$20,000 daripada Sheikh Ahmad Nafiq Sheikh A. Rahman di antara Ogos dan November 2024 di MDIO, Kementerian Pertahanan, Jalan Padang Tembak di sini.

Menurut pertuduhan, suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk dirinya selaku pegawai badan awam, iaitu Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan meluluskan sijil pengesahan dan penerimaan perkhidmatan untuk pembayaran Perolehan Perkhidmatan Senggaraan dan Perkhidmatan Sokongan Sistem, Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC), Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP).

Beliau didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pertuduhan kedua, Mohd. Razali didakwa menerima untuk isterinya, Datin Azarina Bakia suatu benda berharga iaitu pembayaran berjumlah RM26,800 bagi pembelian tiket
penerbangan pergi dan balik ke Malaga, Sepanyol, dengan tanpa balasan daripada Sheikh Ahmad Nafiq.

Menurut pertuduhan, dia didakwa menerimanya daripada individu tersebut yang merupakan Pengarah Syarikat Intelligence PC Centre Sdn. Bhd. yang diketahui mempunyai hubungan dengan tugas-tugas rasminya sebagai penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan MDIO, ATM.

Kesalahan didakwa dilakukan pada 15 November 2024 di tempat sama, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan [Akta 574] yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan ketiga, bekas pegawai tertinggi perisikan ATM itu didakwa menerima untuk isterinya pembayaran berjumlah RM37,800 bagi pembelian tiket penerbangan pergi balik ke Estonia daripada individu tersebut pada 28 April tahun lalu di tempat sama, mengikut seksyen sama.

Suzana membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasportnya ditahan oleh mahkamah sebagai syarat jaminan.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan pada 16 Mac ini untuk serahan dokumen.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How memohon jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan.

Pasukan pendakwaan memohon mahkamah mengambil kira kesalahan itu serius dan mempertimbang bahawa tertuduh baru bersara daripada jawatan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, ATM.

Ujar Chin How, wujud kebarangkalian Mohd. Razali melarikan diri kerana beliau kerap keluar negara untuk menghadiri program tertentu.

Bagaimanapun, peguam Datuk Geethan Ram Vincent memohon jaminan terhadap Mohd. Razali dikurangkan kepada RM10,000 atas alasan bon jaminan untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah, bukan bersifat menghukum.

Hujah beliau, penyerahan pasport sepatutnya boleh mengurangkan jaminan selain memohon nilai suapan yang dinyatakan dalam pertuduhan, tidak dijadikan asas untuk menentukan jumlah jaminan.

Menurut peguam, jaminan RM200,000 itu tidak munasabah dan tidak sepatutnya diukur bagi menentukan jaminan kerana nilai yang terlibat dalam pertuduhan hanya sekitar RM142,000.

“Anak guam saya dipanggil sebanyak lima kali ke pejabat SPRM dan tidak pernah gagal menghadirinya. Beliau dan isteri merupakan warganegara Malaysia.

“Mohd. Razali berjawatan pegawai tentera yang telah berkhidmat selama 40 tahun dan sepatutnya bersara pada Disember 2026,” hujah beliau.

Geethan turut menolak hujahan pasukan pendakwaan yang menyatakan anak guamnya berisiko melarikan diri sebaliknya menegaskan Mohd. Razali keluar negara atas tugas rasmi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast