Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz

MUAR – Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka ketika cuaca panas dan kering seperti sekarang.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan aktiviti seperti pembakaran sampah, rumput, semak dan kebun yang dilakukan segelintir pihak.

Beliau bimbang aktiviti tersebut akan menjadi tidak terkawal malah boleh merebak menjadi kebakaran yang besar dalam sekelip mata.

Tegasnya, aktiviti pembakaran terbuka merupakan satu kesalahan dari segi undang-undang selain boleh mengundang risiko besar kepada keselamatan nyawa, harta benda dan kesihatan awam.

“Berdasarkan statistik semasa daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), insiden kebakaran rumput berskala kecil turut dilaporkan di kawasan lalang sekitar daerah ini.

“Termasuk satu kejadian baru-baru ini yang melibatkan kawasan semak samun seluas kira-kira 0.0056 hektar selepas pasukan bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.02 petang.

“Walaupun ini merupakan kebakaran berskala kecil, situasi seperti ini berpotensi merebak dengan cepat sekiranya tidak dikawal, khususnya ketika cuaca panas dan kering,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, aktiviti pembakaran terbuka boleh menjadi pencetus kebakaran lebih besar sekali gus boleh menjejaskan kualiti udara dan membahayakan penduduk sekitar.

Tambah Raiz Mukhliz, pembakaran terbuka merupakan satu kesalahan bawah Seksyen 29A (1) dan 29A (2) yang memperuntukkan larangan pembakaran terbuka di mana-mana premis termasuk tanah persendirian.

Malah, katanya, mana-mana individu yang didapati melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Polis Muar juga akan terus bekerjasama rapat dengan bomba serta agensi berkaitan bagi memastikan tahap keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya.

Raiz Mukhliz turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap sebarang kejadian kebakaran di kawasan persekitaran masing-masing.

“Sebarang kejadian kebakaran atau kepulan asap mencurigakan hendaklah segera dilaporkan kepada talian kecemasan 999 atau balai bomba berhampiran bagi membolehkan tindakan pantas diambil,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast