Mohd Ridhwan Othman

JOHOR BAHRU – Kenyataan Perdana Menteri bahawa isu Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) dianggap ‘selesai’ apabila pelajar mengambil subjek bahasa Melayu dan sejarah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bersifat politik dan amat berbahaya.

Presiden Pertubuhan Permuafakatan Pendidikan Malaysia (Mendidik), Datuk Mohd Ridhwan Othman berkata, pengumuman itu dilihat seperti mengambil jalan tengah yang harmoni tetapi sebenarnya membuka kotak pandora yang berbahaya untuk masa depan pendidikan negara.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Pemuda Puteri Malaysia Bersatu (Perimau) mengemukakan lima hujah mengapa ‘langkah penyelesaian’ itu tidak praktikal dan memberi kesan jangka panjang.

Ridhwan berkata, pertamanya apabila kerajaan iktiraf UEC, keputusan itu akan merasmikan sistem ‘dua darjat’ dan sebenarnya memberi isyarat tidak perlu masuk sekolah kebangsaan kerana kerajaan akan terima pelajar terbabit.

“Ini akan mengalakkan lagi polarisasi kaum. Kenapa ibu bapa nak hantar anak bercampur gaul di sekolah kebangsaan kalau sijil sekolah vernakular swasta pun laku keras? Dasar Pendidikan Kebangsaan akan jadi sekadar di atas kertas.

“Kedua bahasa Melayu dan sejarah sekadar syarat cukup makan, lulus satu kertas peperiksaan tak sama dengan menjiwai bahasa dan budaya selama 11 tahun persekolahan.

“Murid sekolah kebangsaan hari-hari bergaul, menyanyi lagu Negaraku dan belajar dalam bahasa Kebangsaan. Pelajar UEC pula, cuma ‘sentuh’ buku teks Kementerian Pendidikan (KPM) apabila peperiksaan sahaja. Roh kebangsaan itu tiada,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, semua sekolah pelbagai aliran pendidikan termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama serta sekolah dalam aliran Sijil UEC diwajibkan untuk mengambil subjek bahasa Melayu dan sejarah dalam SPM.

Menerusi langkah sedemikian, Anwar menegaskan, kontroversi berkaitan isu bahasa Melayu akan dapat dileraikan, sekali gus hal berkaitan syarat kemasukan ke universiti awam juga tidak lagi berbangkit selepas ini.

Mengulas lanjut, Ridhwan berkata, hujah ketiga keputusan itu akan membangkitkan soal keadilan terhadap pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan matrikulasi.

“Pelajar aliran kebangsaan bertungkus-lumus ambil STPM iaitu antara peperiksaan paling susah di dunia. Tiba-tiba mereka kena berebut tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan pemegang UEC yang sistem grednya kita tak pantau pun.

“Adil ke kita anak-tirikan budak yang setia dengan sistem negara sendiri? Keempat pula babit jati diri dan sukatan sejarah wajib ambil kertas Sejarah SPM, tapi hari-hari lain mereka belajar silibus sejarah versi siapa,” soalnya.

Sekiranya acuan sejarah berbeza kata beliau, bagaimana mahu membentuk satu bangsa Malaysia yang berkongsi memori kolektif yang sama?

Menurutnya, tidak adil bagi pelajar-pelajar SPM yang perlu memenuhi syarat enam mata pelajaran kredit untuk masuk IPTA berbanding UEC hanya perlu lulus dua subjek untuk masuk universiti awam.

Seperkara lagi ujar beliau, sepatutnya sistem UEC perlu diiktiraf oleh Lembaga Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) di bawah Kerajaan Malaysia seperti mana peperiksaan yang ada dalam negara ini.

“Kelima pula ini adalah permulaan kejatuhan bahasa Melayu? Hari ini iktiraf masuk universiti, esok lusa mungkin ada desakan untuk kuliah dalam bahasa ibunda masing-masing. Sedikit demi sedikit, kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu akan terhakis,” tegasnya.

Beliau mengingatkan keputusan tersebut tidak perlu dibuat untuk kepentingan politik dan mahu ‘mengubati’ hati satu pihak sekali gus mengorbankan integrasi nasional untuk jangka masa panjang.

“Perpaduan bukan boleh dibeli dengan sekeping sijil peperiksaan,” tambahnya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast