KUALA LUMPUR – Ketabahan dan kesabaran seorang ibu tunggal, Umi Kalsum Abd Razak, 56, menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) sejak 2018 membuahkan hasil apabila beliau diumumkan sebagai pemenang utama Cabutan WOW! Simpan SSPN 2025 bagi Kategori Platinum.
Kemenangan itu membolehkan Umi Kalsum yang juga seorang pesara guru membawa pulang sebuah kereta jenis Mercedes Benz A250 4Matic AMG Line.
Berkongsi perasaannya, Umi Kalsum mengakui seolah-olah masih bermimpi dan tidak mempercayai dia terpilih sebagai pemenang utama kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2025 itu.
Kata ibu kepada enam anak berkenaan, dia juga masih berasakan panggilan yang diterima daripada pegawai Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) minggu lalu berhubung kemenangannya itu sebagai satu cubaan `scammer’.
“Namun, selepas diyakinkan pegawai PTPTN bahawa saya merupakan pemenang sebenar, saya benar-benar bersyukur dan menangis dengan rezeki daripada Allah SWT ini,” katanya kepada pemberita di sini, baru-baru ini.
Umi Kalsum ditemui pada majlis penyampaian hadiah Cabutan WOW! Simpan SSPN 2025 dan Majlis Pelancaran Cabutan Simpan SSPN 2026 yang disempurnakan oleh Pengerusi PTPTN, Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim.

Berkongsi lanjut, Umi Kalsum berkata, beliau meneruskan usaha arwah suaminya yang mula menabung bersama Simpan SSPN sejak 2018, yang mana kesemua enam anak-anaknya mempunyai tabung Simpan SSPN dengan jumlah simpanan bulanan antara RM300 hingga RM500.
Menganggap kemenangan kereta mewah itu sebagai bonus dan rezeki yang tidak disangka-sangka, tambahnya, matlamat utama dia menabung bersama Simpan SSPN adalah untuk memastikan kelangsungan pendidikan anak-anaknya.
“Banyak manfaat lain yang diperoleh dengan menabung bersama Simpan SSPN ini misalnya pelepasan taksiran cukai pendapatan dan sebagainya.
“Jadi saya sangat menyarankan ibu bapa di luar sana supaya merebut peluang ini sebagai salah satu usaha dalam memastikan masa depan pendidikan anak-anak kita terjamin,” katanya.

Sementara itu, kegembiraan sama dikongsi oleh pemenang kedua Cabutan WOW! Simpan SSPN 2025 bagi kategori Platinum iaitu Mohammed Firdhaus Nawawi, 46, yang membawa pulang sebuah kereta jenis Honda HRV 1.5 TV.
Pengurus di sebuah syarikat minyak dari Port Dickson, Negeri Sembilan itu berkata, dia menganggap kemenangan itu hasil kesabarannya yang mula menyimpan bersama Simpan SSPN kira-kira 15 tahun lalu.
“Kesemua empat anak-anak saya mempunyai tabung bersama Simpan SSPN yang saya khususkan untuk masa depan pendidikan mereka.’
“Menariknya dengan Simpan SSPN ini kita boleh menyimpan mengikut kadar kemampuan kita dan dapat menikmati pelbagai manfaat yang salah satunya adalah dividen yang kompetitif dan patuh syariah,” katanya.

Sementara itu, bagi pemenang tempat kedua Cabutan WOW! Simpan SSPN 2025 bagi kategori Gold, Evita Ang Yen Yen, kemenangannya yang membawa pulang pulang kereta jenis Toyota Vios. 1.5G AT diibaratkan seperti mimpi menjadi kenyataan memandangkan dia sememangnya berhasrat membeli sebuah kereta baharu.
Kakitangan swasta yang berasal dari Bau Sarawak itu berkata, dia mula menyimpan bersama Simpan SSPN sejak 2017 sebagai salah satu cara mengatur dan merancang kewangan sebagai jaminan pada masa depan.

Dalam pada itu, seorang lagi pemenang bertuah WOW! Simpan SSPN 2025 bagi kategori Superheroes, Suhaida Raeze, 36, turut tidak menyangka usahanya menyimpan bersama Simpan SSPN yang baru dimulakan pertengahan tahun lalu membuahkan hasil yang lumayan.
Sebagai pemenang utama kategori itu, Suhaida yang berasal dari Negeri Sembilan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM30,000.
“Saya baru membuka tabung dengan Simpan SSPN untuk anak saya tahun lalu dengan jumlah simpanan bulanan RM30, jadi memang tidak menduga akan menjadi antara pemenang.
“Sudah semestinya hadiah wang tunai ini juga akan saya peruntukan bagi simpanan Simpan SSPN anak saya sebagai jaminan masa depan pendidikannya,” katanya.
Kempen Cabutan Simpan SSPN 2026 menawarkan hadiah yang lumayan bernilai hampir RM1.4 juta untuk dimenangi oleh 954 orang pemenang. Tempoh promosi bermula pada 1 Januari 2026.
Cabutan kali ini terdiri daripada tiga cabutan istimewa iaitu Cabutan WOW! Plus Loyalty 2026 (kategori tahunan), Cabutan WOW! Plus Siri dan Cabutan Simpan SSPN Baru Slay!
Cabutan WOW! Plus Loyalty 2026 dan Cabutan WOW! Plus Siri merupakan inisiatif istimewa untuk pendeposit Simpan SSPN Plus.
Cabutan WOW! Plus Loyalty 2026 diadakan bagi menghargai pendeposit setia sedia ada yang telah membuka akaun sehingga 31 Disember 2025 dan membuat penambahan simpanan dalam tempoh kempen.
Manakala Cabutan WOW! Plus Siri terbuka kepada pendeposit baharu dan sedia ada yang membuka akaun atau membuat penambahan simpanan sepanjang tempoh kempen.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berucap pada Majlis Pelancaran Cabutan Simpan SSPN 2026 ketika di Royale Chulan Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 29 JANUARI 2026.Sementara itu, ketika berucap pada majlis tersebut, Norliza berkata, “buat julung kalinya, PTPTN turut memperkenalkan Cabutan Simpan SSPN Baru Slay! bagi menarik minat penyertaan generasi muda.
Cabutan ini terbuka kepada pendeposit Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus yang berumur antara 16 hingga 29 tahun yang membuka akaun atau membuat penambahan simpanan dalam tempoh kempen.
“Pendeposit juga hendaklah membuat simpanan melalui aplikasi myPTPTN dalam tempoh kempen untuk menyertai cabutan ini.”
“Sambil menabung, rebutlah peluang menyertai Cabutan Simpan SSPN 2026 yang berlangsung di sepanjang tahun. Besar harapan saya, kempen ini akan mendapat sambutan yang menggalakkan.
“Dengan sokongan bersama, bukan sahaja dapat memperkukuh Simpan SSPN sebagai instrumen simpanan pendidikan utama negara, malah dapat membentuk generasi yang lebih bersedia, berdaya tahan, dan berilmu selari aspirasi Malaysia MADANI,” ujarnya lagi.
Simpan SSPN merupakan produk simpanan PTPTN yang menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat.
Antaranya ialah pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, simpanan dijamin Kerajaan dan patuh syariah.
Maklumat lanjut berkenaan Simpan SSPN boleh diperoleh melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my atau aplikasi myPTPTN untuk perkhidmatan yang lebih mudah, cepat dan selamat. – MalaysiaGazette
















