Zainuddin Adan

JOHOR BAHRU – Malaysia perlu mencontohi negara yang mencatat kadar penipuan rendah dalam menangani kes penipuan digital dan penggunaan akaun keldai kerana mereka melaksanakan sistem perlindungan lebih proaktif.

Timbalan Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor Zainuddin Adan berkata, amalan terbaik negara-negara yang mencatat kadar penipuan digital yang rendah seperti Luxembourg, Denmark, Finland dan Singapura wajar dicontohi.

“Antara langkah utama ialah penggunaan mekanisme real-time kill switch (transaksi boleh dihentikan segera jika dikesan penipuan) untuk membekukan akaun mencurigakan serta-merta, perkongsian data akaun keldai secara nasional antara institusi perbankan, penggunaan sistem pemantauan berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan corak transaksi luar biasa serta kempen kesedaran awam yang berterusan dan menyeluruh.

“Pada masa yang sama, penguatkuasaan terhadap pemilik akaun keldai perlu diperkasakan. Di banyak negara Eropah dan United Kingdom, individu yang dengan sengaja menyewakan atau membenarkan akaun mereka digunakan untuk jenayah kewangan dianggap bersubahat dan dikenakan hukuman berat,” katanya dalam satu kenyataan.

Namun, di Malaysia, kelemahan penguatkuasaan menyebabkan masih ramai yang beranggapan perbuatan menjual atau meminjamkan akaun bank bukan satu kesalahan serius.

Beliau berkata, ketika ini peningkatan kes tersebut naik mendadak yang membuktikan bahawa tahap keselamatan siber negara masih membimbangkan dan reformasi proaktif perlu dilaksana segera.

Katanya, kerugian akibat penipuan digital yang mencecah lebih RM2.7 bilion pada 2025.

Walaupun kerajaan telah menubuhkan Pusat Respons Scam Nasional (NSRC) dengan talian 997 sebagai saluran kecemasan kepada mangsa, beliau berkata, kadar pemulihan wang yang dilaporkan masih terlalu rendah.

Data menunjukkan hanya sekitar RM11.6 juta atau kurang daripada 0.5 peratus daripada jumlah kerugian sebenar berjaya diperoleh semula, katanya.

Realitinya ujar beliau, dalam kebanyakan kes wang mangsa telah dipindahkan ke akaun lain atau ke luar negara sebelum tindakan pembekuan dapat dilakukan.

“Ini jelas menunjukkan bahawa pendekatan sedia ada masih bersifat reaktif dan tidak mencukupi untuk melindungi rakyat,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast