Oplus_16908288

JOHOR BAHRU – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor mencadangkan pelaksanaan Mini Bas Rakyat sebagai solusi jangka pendek yang praktikal, pantas dan berdaya kos bagi menyelesaikan masalah kesesakan di bandar raya ini.

Ketua Penerangan Pejuang Johor, Suraya Sulaiman berkata, langkah itu perlu kerana sebagai bandar kedua terbesar di Malaysia dengan populasi mencecah 1.8 juta orang, Johor Bahru kini berdepan tekanan kesesakan trafik yang semakin kritikal.

Sedangkan pada masa sama katanya, projek mega seperti Transit Aliran Ringan (LRT) dan sistem Aliran Transit Automasi (ART) bertingkat masih mengambil masa bertahun-tahun untuk disiapkan.

“Tanpa penyelesaian segera, rakyat akan terus menanggung kos masa dan kewangan akibat perjalanan harian yang tidak efisien.

“Walaupun kerajaan negeri memperuntukkan RM31 juta untuk perkhidmatan Bas Muafakat Johor, isu asas seperti kekerapan rendah, liputan terhad serta tahap kepuasan pengguna yang lemah masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya.

“Keadaan ini dijangka menjadi lebih mencabar dengan penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) yang bakal meningkatkan pergerakan harian pekerja dan pelawat ke Bandaraya Johor Bahru,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, bas yang dicadangkan itu dengan anggaran kos RM30 hingga RM50 juta bagi 100 unit, perkhidmatan tersebut mampu meningkatkan bilangan bas dan kekerapan perjalanan secara signifikan.

Katanya, saiz bas yang lebih kecil sesuai untuk jalan sempit dan kawasan perumahan manakala tambang rendah sekitar RM1 hingga RM2, pas bulanan RM30 serta pengecualian bayaran kepada pelajar, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) akan meringankan beban rakyat.

“Mini Bas Rakyat juga dicadangkan beroperasi dengan kekerapan tinggi, dengan masa menunggu sekitar 5 hingga 10 minit, disokong oleh jadual perjalanan yang jelas di setiap hentian bas,” ujarnya.

Paling penting kata Suraya, penggunaan teknologi sistem Penentuan Posisi Global (GPS) bagi pemantauan masa nyata akan membolehkan pengguna merancang perjalanan dengan lebih yakin dan cekap.

Jelasnya, perkhidmatan itu turut berpotensi berfungsi sebagai pengangkutan pengantara ke Projek Sistem Rapid Transit (RTS) Link Johor Bahru-Singapura di Bukit Chagar serta kawasan JS-SEZ.

Kesimpulannya, Pejuang Johor berpandangan bahawa Johor Bahru memerlukan pendekatan yang pragmatik dan segera sementara menunggu projek pengangkutan berskala besar disiapkan.

Tambahnya, Mini Bas Rakyat yang berkos rendah, fleksibel, berkekerapan tinggi serta dilengkapi pemantauan digital masa, nyata merupakan langkah realistik untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan menyokong pembangunan ekonomi negeri.

“Hakikatnya, siapa yang tidak mahu menaiki bas sekiranya selesa, mudah diakses dan boleh dipantau secara langsung di hujung jari, berbanding menanggung kos petrol dan parkir yang semakin meningkat,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast