Ab Rahaman Arsad

JOHOR BAHRU – Polis mengesahkan seorang juruteknik disyaki pedofil dan berkelakuan seperti tidak waras di mahkamah sebelum ini adalah normal dan boleh dibicarakan bagi semua tuduhan yang dihadapinya sebelum ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, laporan seorang pakar psikiatri mengesahkan suspek berusia 29 tahun itu yang sebelum ini memiliki bahan seksual kanak-kanak serta melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak berada dalam keadaan mental yang waras.

“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru semalam dan laporan pakar menunjukkan bahawa beliau berada dalam keadaan normal dan layak untuk dibicarakan.

“Mahkamah menetapkan 27 Februari sebagai tarikh sebutan semula kes,” katanya dalam satu kenyataan.

Ab Rahaman berkata, suspek didakwa pada 29 Ogos tahun lalu atas tiga pertuduhan memiliki bahan pornografi kanak-kanak di bawah Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Suspek turut berdepan tiga pertuduhan melakukan serangan seksual melibatkan sentuhan fizikal di bawah Seksyen 14(a) serta satu pertuduhan melakukan sentuhan fizikal terhadap kanak-kanak tanpa persetubuhan di bawah Seksyen 14(d) akta yang sama.

“Hasil siasatan lanjut, polis telah berjaya mendapatkan keterangan untuk membuat pertuduhan tambahan ke atas suspek.

“Pada 16 Januari lalu, suspek sekali lagi dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru dan didakwa atas tiga pertuduhan di bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya.

Suspek yang bekerja sebagai juruteknik dipercayai terlibat dalam satu sindiket pedofilia yang menawarkan bayaran antara RM1,500 hingga RM3,500 kepada wanita hamil untuk menyerahkan bayi mereka bagi tujuan pengambilan anak angkat melalui iklan di Facebook.

Bayi dan kanak-kanak itu kemudiannya didera secara seksual untuk menghasilkan rakaman video dan gambar yang dimuat naik ke laman web gelap serta dikongsi melalui kumpulan Telegram yang mempunyai pelanggan dari seluruh dunia.

Sindiket berkenaan berjaya dilumpuhkan hasil operasi polis selama sebulan susulan penahanan suspek pada 19 Julai lalu, yang dipercayai merupakan dalang utama dalam kes tersebut.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast