Tular video memaparkan seorang lelaki mencuri wang derma sebuah kuil di Senai, Kulai, pasa 19 Januari lalu.

KULAI – Polis menahan seorang lelaki yang mempunyai 31 rekod lampau kerana menceroboh dan mencuri dalam sebuah kuil di Senai di sini pada 19 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima laporan polis berkenaan kejadian tersebut daripada seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun pukul 9.40 malam pada hari berkenaan.

“Kejadian tersebut dipercayai berlaku pada hari yang sama pukul 7.30 malam. Susulan kejadian itu satu video tular dalam media sosial yang memaparkan seorang lelaki mencuri wang derma di sebuah kuil Hindu.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun di rumah kediamannya di Bandar Putra di sini pukul 5 petang semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil tangkapan itu polis merampas satu beg sandang hitam, sebilah pisau pemotong berhulu coklat, satu ragum, satu alat pemotong pokok, sebatang test pen, satu lampu cahaya kepala dan satu telefon bimbit.

Hasil semakan katanya, mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau dengan 31 rekod melibatkan pelbagai kesalahan jenayah dan narkotik.

Selain itu ujarnya, hasil saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Beliau memberitahu, suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 1 Februari ini untuk membantu siasatan.

Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan juga boleh didenda.

“Bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya, boleh dihukum penjara serta denda atau sebatan,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast