DAMANSARA – Mesyuarat pra-majlis yang diadakan malam ini di kediaman Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berbincang tentang hala tuju Perikatan Nasional (PN).
Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) P.Punithan berkata demikian sebelum memasuki kawasan perkarangan kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara, malam ini.
“Hari ini kita buat perbincangan bersama dengan presiden-presiden parti, perbincangan tentang hala tuju PN,” katanya.
Difahamkan selepas Punithan, Presiden Gerakan Datuk Dominic Lao tiba beberapa minit kemudian.
Setakat ini MalaysiaGazette difahamkan hanya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang tidak hadir mesyuarat malam ini.
Media sebelum ini melaporkan, Mesyuarat Majlis Tertinggi PN sepatutnya berlangsung malam ini.
Namun ia diganti dengan mesyuarat pra majlis di kediaman Muhyiddin.
Muhyiddin Yassin mencadangkan jawatan Pengerusi PN dimansuhkan dan kepemimpinan gabungan itu disusun semula, susulan pertikaian dalaman yang berterusan berhubung pelantikan ketua baharu.
Cadangan itu disuarakan selepas meletakkan jawatan sebagai pengerusi perikatan berkuat kuasa 1 Januari lalu.-MalaysiaGazette
















