KUALA UMPUR – Seorang kanak-kanak perempuan berdepan detik cemas apabila diserang seorang lelaki tidak dikenali petang semalam di kawasan kawasan perumahan di Taman Bakawali, Bukit Sentosa 3, Rawang.
Menerusi perkongsian di Facebook oleh pemilik akaun bernama Nett Adnan, kejadian berlaku sekitar 6.50 petang ketika mangsa dan dua abangnya menuju ke pasar malam yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah mereka.

“Difahamkan, ini merupakan kali pertama kanak-kanak tersebut dibenarkan keluar tanpa pengawasan ibu bapa berikutan keadaan kesihatan ibu bapanya yang kurang sihat,” tulisnya.
Jelasnya, ketika dalam perjalanan ke pasar malam, kanak-kanak itu tiba-tiba dikejar dan ditarik masuk ke dalam sebuah rumah kemudian bertindak agresif dengan memijak, menendang serta mencekik mangsa sehingga menyebabkan kecederaan serius.
Menurut pemilik akaun itu, jeritan kanak-kanak berkenaan kemudian menarik perhatian jiran dan orang awam yang kemudiannya membantu menyelamatkannya.
“Mangsa berjaya diselamatkan hasil bantuan penduduk setempat, dan keluarga mangsa menzahirkan rasa syukur serta berterima kasih kepada jiran-jiran yang prihatin.
“Ketiga-tiga kanak-kanak terlibat dilaporkan mengalami trauma akibat kejadian itu,”tambahnya.
Sehingga kini, MalaysiaGazette masih menunggu kenyataan daripada pihak polis mengenai kejadian berkenaan.-MalaysiaGazette
















