KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menyelar dakwaan kononnya sikap tamak pemimpin parti itu telah mengorbankan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, sekiranya Pas tamak, parti itu tidak akan menyerahkan jawatan ketua pembangkang kepada parti lain sedangkan Pas mempunyai paling banyak kerusi Parlimen.
Tambah beliau, Pas juga tidak akan menuntut jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) kerana memiliki kerusi paling banyak sekiranya parti itu tamak.
Sebaliknya, kata beliau, Pas hanya membangkitkan soal kepengerusian PN selepas melihat hala tuju Bersatu yang semakin membimbangkan dan memberi kesan kepada PN.
“Pas hanya mahu selamatkan situasi, bergerak dengan gerak kerja sepatutnya menjelang PRU-16.
“Anda dan beberapa kerat pemimpin anda (Bersatu) nampaknya tidak berminat ke arah itu,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Ahmad Fadhli memberikan maklum balas terhadap rencana yang disiarkan sebuah akhbar yang seolah-olah membayangkan ketamakan Pas telah mengorbankan hubungan dengan Bersatu yang turut memetik kenyataan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.
Sementara itu, tambah menyebut nama, Ahmad Fadhli turut menulis: “Anda dan beberapa kerat pemimpin anda yang tamak. Masuk BERSATU pada tahun 2023 selepas PRU, dan pandai-pandai label PAS sebagai tamak dan pemimpinnya gila jawatan.” – MalaysiaGazette
















