Pelawat mengunjungi reruai Universiti Malaya Soil Doctor Programme yang dianjurkan baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) terus mengukuhkan peranannya sebagai institusi peneraju dalam agenda kelestarian sains tanah apabila muncul sebagai universiti perintis di Malaysia yang melaksanakan Universiti Malaya Soil Doctor Programme (UMSDP).

Ia merupakan inisiatif pendidikan berasaskan Soil Doctors Programme (SDP) yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) di peringkat global.

Program ini mengangkat tema global “Tanah Sihat untuk Bandar Sejahtera”, selaras dengan usaha negara mendepani cabaran urbanisasi, perubahan iklim dan keperluan memastikan keterjaminan makanan yang mampan.

Soil Doctors Programme bertujuan memperkasakan komuniti melalui latihan pengurusan tanah secara mampan, pembinaan keupayaan tempatan serta pemindahan ilmu menggunakan pendekatan praktikal seperti ujian tanah di lapangan.

Selain itu, program ini turut menekankan peranan “Soil Doctor” sebagai ejen perkongsian ilmu dalam komuniti bagi membantu pembuatan keputusan yang lebih berkesan berkaitan kesihatan tanah, keselamatan makanan dan adaptasi terhadap perubahan iklim.

Di Malaysia, pelaksanaan SDP diterjemahkan melalui mySOILDOCTOR (mySDP) yang diselaraskan oleh Jabatan Pertanian Malaysia sebagai sekretariat di peringkat kementerian, melibatkan petani yang dilatih untuk menjalankan ujian tanah secara mudah di lapangan serta membantu komuniti mengenal pasti dan menyelesaikan masalah tanah bagi meningkatkan produktiviti tanaman.

Melalui kerjasama strategik antara Universiti Malaya dan Jabatan Pertanian Malaysia di bawah payung mySDP, UMSDP berperanan meluaskan capaian program ini kepada golongan belia sebagai kumpulan sasaran baharu dalam ekosistem pendidikan tanah negara.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen kerjasama strategik antara Jabatan Pertanian Malaysia dan institusi akademik seperti Universiti Malaya dengan menggabungkan penyelidikan saintifik dan amalan lapangan bagi memacu inovasi dalam
pengurusan tanah negara.

Pensyarah di Fakulti Sains, Dr. Rosazlin Abdullah berkata, penglibatan Universiti Malaya dalam Soil Doctors Programme merupakan langkah strategik untuk memastikan ilmu berkaitan tanah tidak hanya tertumpu kepada komuniti petani, malah turut difahami oleh generasi muda yang bakal menjadi pembuat dasar, penyelidik dan pemimpin masa hadapan.

Tanah merupakan sumber asas kepada keselamatan makanan dan kestabilan ekosistem, dan melalui UMSDP, pendedahan awal dapat diberikan kepada golongan muda tentang fungsi tanah serta kepentingan penjagaan tanah dalam minheap cabaran perubahan iklim.

Seiring dengan konsep asal Soil Doctors Programme iaitu petani kepada petani, UMSDP turut mengadaptasi pendekatan yang sama melalui model mahasiswa kepada mahasiswa, yang mana sekumpulan mahasiswa dilatih sebagai Soil Doctor dan seterusnya berperanan sebagai ejen perkongsian ilmu kepada rakan sebaya mereka.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, UMSDP telah membangunkan kit pendidikan tanah iaitu bahan dan kit pendidikan interaktif yang diadaptasi daripada modul Soil Doctors Programme FAO bagi memudahkan pemahaman asas mengenai kesihatan tanah dalam kalangan pelajar, komuniti setempat dan masyarakat umum.

Kit ini telah diperkenalkan kepada peserta sebagai medium pendidikan dan kesedaran awam, manakala reruai UMSDP turut dilawati oleh Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Malaysia yang menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan inisiatif ini.

Universiti Malaya berharap inisiatif perintis ini dapat diperluaskan ke institusi pengajian tinggi lain serta ke peringkat sekolah pada masa hadapan.

Dengan sokongan FAO dan Jabatan Pertanian Malaysia, UMSDP dilihat sebagai usaha strategik dalam membentuk generasi
muda yang lebih peka terhadap kepentingan penjagaan tanah, keselamatan makanan dan mitigasi perubahan iklim.

Sebagai universiti terulung di Malaysia, Universiti Malaya komited untuk terus menerajui pengurusan tanah secara lestari bagi memastikan setiap inci tanah kekal produktif serta menjamin keterjaminan makanan negara untuk masa hadapan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast