KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meninjau operasi perkhidmatan Tren Elektrik 3 (ETS3) bagi perjalanan dari stesen Kuala Lumpur ke JB Sentral.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menerusi hantaran di Facebook berkata, perdana menteri turut meluangkan masa menyantuni para penumpang dan mendapatkan maklum balas operasi perkhidmatan pengangkutan awam berkenaan.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen Kerajaan Madani dalam memastikan perkhidmatan rel negara terus dipertingkat, demi keselesaan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” kata KTMB.
Perkhidmatan Tren Elektrik 3 (ETS3) Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) bagi laluan KL Sentral–Johor Bahru mula beroperasi pada 12 Disember tahun lalu.
Perkhidmatan ini dijangka dapat mengurangkan masa perjalanan kepada sekitar 4.5 jam, berbanding perjalanan jalan raya semasa antara lima hingga tujuh jam.
Dengan perkhidmatan ini, rangkaian kereta api di pantai barat Malaysia kini beroperasi sepenuhnya di atas landasan berkembar elektrik dari Padang Besar di utara hingga Johor Bahru yang bersempadan dengan Singapura.
Baru-baru ini, KTMB memaklumkan akan menyediakan lapan perkhidmatan ETS sempena Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri bagi memenuhi keperluan perjalanan orang ramai.
KTMB berkata, sebanyak 26,460 tiket ETS tambahan mula dijual sejak 24 Januari lalu sempena sambutan Tahun Baharu Cina, bagi perkhidmatan tambahan yang merangkumi laluan KL Sentral-Ipoh, KL Sentral-Butterworth-KL Sentral, KL Sentral-Padang Besar-KL Sentral, JB Sentral-KL Sentral- JB Sentral dan JB Sentral-Butterworth-JB Sentral.- MalaysiaGazette
















