KUALA LUMPUR – Cadangan untuk mengadakan semula Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kuala Lumpur termasuk pemilihan Datuk Bandar disifatkan berbahaya.
Ia berpotensi menggugat keharmonian kaum lebih-lebih lagi apabila ia dikemukakan tanpa sebarang kajian rasmi dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Asmawar Samat berkata, cadangan yang dilontarkan oleh Menteri Wilayah itu telah mengundang reaksi sinikal termasuk perbandingan ekstrem seperti “suatu hari nanti seorang warga asing boleh menjadi Datuk Bandar Kuala Lumpur” sebagaimana yang kononnya berlaku di United Kingdom.
Menurut beliau, cadangan tersebut seolah-olah mahu menghidupkan semula sistem Pilihan Raya Perbandaran yang pernah dilaksanakan di Kuala Lumpur pada 1962 di bawah Ordinan 1960 apabila UMNO dan MCA memenangi sembilan daripada 12 kerusi dan membentuk gabungan Parti Perikatan.
“Namun sejarah membuktikan, sistem itu akhirnya dihentikan kerana dikhuatiri menjejaskan perpaduan kaum akibat komposisi perwakilan yang tidak seimbang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengingatkan sebelum itu, Pilihan Raya Perbandaran Georgetown pada 1951 turut memperlihatkan ketidakseimbangan apabila dimenangi oleh Parti Radikal dan Parti Buruh sekali gus menunjukkan corak perwakilan bandar yang tidak mencerminkan struktur masyarakat keseluruhan.
Tambahnya, ketidakseimbangan komposisi kaum di bandar-bandar besar telah menjadi benih kepada perpecahan sosial yang akhirnya memuncak kepada tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969.
“Justeru, apabila cadangan pilihan raya perbandaran Kuala Lumpur dibangkitkan semula, ia diumpamakan seperti menghidangkan bak kut teh kepada orang Melayu Islam – sesuatu yang sukar diterima,” katanya.
Asmawar turut mempersoalkan motif Menteri Wilayah yang menurutnya sedar akan sensitiviti isu tersebut namun tetap mengeluarkan kenyataan yang dijangka mendapat tentangan orang Melayu yang kemudiannya dilabel sebagai berhaluan kanan.
Beliau mendakwa, label sedemikian digunakan kerana ramai wakil Melayu berhaluan kiri berada dalam kerajaan dan berjaya ‘disenyapkan’ manakala suara Melayu di luar kerajaan pula mudah dicap ekstrem.
Katanya lagi, mempertahankan kebenaran berasaskan Perlembagaan serta sistem pentadbiran dan sosial sedia ada adalah keperluan walaupun mengakui wujud kelemahan dalam kontrak sosial yang sering dipolitikkan.
“Hakikatnya, jika dahulu pilihan raya perbandaran dianggap api dalam sekam, mengapa kini mahu dihidupkan semula api tersebut?” soalnya.
Mengulas soal pentadbiran, beliau berkata, Kuala Lumpur yang kini dianggarkan mempunyai hampir sembilan juta penduduk terlalu besar untuk ditadbir oleh seorang Datuk Bandar sahaja.
“Jika tetap mahu dilaksanakan, lebih wajar Kuala Lumpur dibahagikan kepada dua atau tiga kawasan pentadbiran dengan Datuk Bandar berasingan namun ia memerlukan pengorbanan termasuk pengurangan kawasan Parlimen,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar, pelantikan ahli majlis yang kini didominasi oleh tokoh parti politik digantikan dengan pemimpin komuniti seperti wakil persatuan penduduk, Kawasan Rukun Tetangga (KRT), ketua blok dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Dalam pada itu, Asmawar menegaskan, usaha Menteri Wilayah dari DAP tidak dapat dielakkan daripada disyaki bermotifkan politik khususnya untuk mengekalkan atau menambah kerusi parti tersebut pada pilihan raya umum akan datang.
“Kenyataan tanpa kajian awal mudah dibaca niatnya, lebih-lebih lagi selepas prestasi merudum DAP dalam Pilihan Raya Negeri Sabah,” katanya.
Beliau menambah, rakyat ketika ini mengharapkan sesuatu yang lebih konkrit daripada Perdana Menteri, bukannya cadangan bersifat spekulatif yang belum tentu mendatangkan hasil bermanfaat kepada negara. — MalaysiaGazette
















