Foto: FB Markas Pemerintahan Armada Timur.

KUALA LUMPUR – Markas Pemerintahan Armada Timur (MPA Timur) mempamerkan tahap kesiapsiagaan dan keupayaan operasi keselamatan berprofil tinggi melalui demonstrasi keupayaan Remotely Operated Disposal Vehicle (RODV) oleh Cawangan Selam MPA Timur di Stadium Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah semalam.

Demonstrasi itu bukan sekadar paparan aset, sebaliknya mencerminkan pendekatan pencegahan strategik (deterrence) TLDM dalam menghadapi ancaman asimetri, khususnya ancaman bom dan Improvised Explosive Device (IED) di persekitaran pangkalan dan fasiliti strategik negara.

MPA Timur dalam satu kenyataan berkata, melalui simulasi senario ancaman bom yang realistik, warga Pangkalan TLDM Kota Kinabalu didedahkan kepada rantaian pengurusan insiden yang komprehensif bermula daripada penerimaan maklumat, tindakan awal PROTELA, pengaktifan Tim EOD, sehinggalah kepada pemusnahan ancaman menggunakan teknologi kawalan jauh.

Menurutnya, penggunaan RODV memperlihatkan lonjakan keupayaan TLDM dalam mengurangkan risiko kepada anggota, meningkatkan ketepatan tindakan, serta memastikan dominasi kawalan situasi walaupun dalam persekitaran berisiko tinggi.

“Kaedah pemandulan menggunakan water disruptor yang dikendalikan secara jarak jauh menzahirkan prinsip utama operaso moden TLDM iaitu melindungi nyawa, mengekalkan kelebihan taktikal dan menafikan peluang kepada musuh,” katanya.

Hadir sama pada demonstrasi itu ialah Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi Idris  yang turut menyempurnakan penembakan water disruptor sebagai simbol komitmen kepimpinan tertinggi Armada Timur dalam memastikan kesiapsiagaan, kredibiliti dan keupayaan pertahanan sentiasa berada pada tahap tertinggi.

Sementara itu, kenyataan tersebut menambah, demonstrasi itu turut menonjolkan keberkesanan konsep joint coordination melibatkan PROTELA, Bomba TLDM dan Hospital Angkatan Tentera (HAT) selari dengan pendekatan whole of force security ecosystem.

Secara keseluruhannya, jelasnya, demonstrasi itu menghantar mesej yang jelas dan tegas iaitu  Armada Timur sentiasa bersedia, berkeupayaan dan tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk ancaman keselamatan.

“Ini adalah deterrence yang dibina bukan dengan retorik, tetapi melalui keupayaan sebenar, latihan berterusan dan kesiapsiagaan operasi yang terbukti,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast